Norzamira Che Noh
bhnews@bh.com.my
Keadaan motosikal Honda Wave dan kenderaan utiliti sukan (SUV) Perodua Ativa yang terbabas dan masuk ke dalam parit hingga mengorbankan seorang kakitangan Klinik Kesihatan Kapar di Kilometer 32 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Jeram, petang semalam. NSTP/IHSAN PEMBACA
SHAH ALAM: Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan seorang penunggang motosikal di Jalan Klang-Teluk Intan di Jeram, Kuala Selangor pada Selasa lalu, disahkan pegawai kanan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata polis sudah mengambil keterangan pegawai yang bertugas di Bukit Aman itu.
Beliau berkata, ketika kejadian, pegawai berkenaan sedang bercuti.
Berdasarkan beberapa rakaman video yang tular di media sosial, katanya, pemandu berkenaan berkemungkinan mengalami 'micro sleep' ketika kejadian.
"Pegawai itu juga cedera dan masih dirawat di hospital. Kita akan melihat jika ada keperluan untuk membuat tangkapan.
"Ujian air kencing turut dibuat dan didapati negatif selain mengambil keterangannya.
"Kita akan lengkapkan siasatan daripada saksi kejadian dan dibantu keterangan rakaman kamera papan pemuka yang sudah diperoleh serta kamera litar tertutup (CCTV) dari rumah di kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Hussein memberi jaminan polis akan melaksanakan siasatan telus dan adil.
"Kertas siasatan akan dilengkapkan segera sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP)," katanya.
Dalam kejadian itu, seorang kakitangan Klinik Kesihatan maut selepas motosikal ditunggang dirempuh SUV di Kilometer 32 Jalan Klang – Teluk Intan di sini.
Dalam kejadian jam 6.17 petang itu, lelaki berusia 57 tahun berkenaan dikatakan melambung ke dalam parit kecil dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan