"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS mampu solo tapi Bersatu akan ‘derita’ hilang 12 kerusi

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Bersatu berisiko hilang 10 hingga 12 kerusi Parlimen yang kemungkinan besar beralih kepada PAS khususnya di kawasan majoriti Melayu jika kemelut pengerusi Perikatan Nasional (PN) gagal dinoktahkan.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, kekuatan sebenar PN pada PRU15 banyak didorong jentera dan sokongan akar umbi PAS, sekali gus meletakkan Bersatu dalam kedudukan paling terdedah jika berlaku perpecahan dalam gabungan itu.

“Saya rasa kalau PN berpecah, Bersatu yang akan menderita. Secara anggaran, Bersatu berisiko kehilangan sekitar 10 hingga 12 kerusi yang kemungkinan besar beralih kepada PAS khususnya di kawasan majoriti Melayu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas cadangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin supaya partinya bertanding solo jika jalan damai gagal ditemui dalam menyelesaikan kemelut pelantikan pengerusi PN selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan 1 Jan lalu.

Pada PRU lalu, Bersatu bertanding 74 kerusi Parlimen dengan 69 menggunakan logo PN manakala lima lagi atas tiket PAS di Kelantan iaitu Jeli, Tanah Merah, Machang, Pasir Puteh dan Ketereh.

Mengulas lanjut, Syaza berkata cadangan Hashim hanya akan merugikan Bersatu susulan sejarah membuktikan PAS mampu bertahan dan mencatat keputusan memberangsangkan walaupun bertanding tanpa gabungan politik.

“Saya berpandangan PAS mampu bertanding bersendirian. Kita boleh melihat pada 2018 apabila ramai menjangkakan PAS akan terhapus kerana bertanding solo, namun akhirnya PAS memenangi 18 kerusi Parlimen dan muncul sebagai kuasa ketiga.

“Pada 2022 pula, jelas kekuatan sebenar PN datang daripada PAS menerusi sokongan akar umbi dan jentera parti yang kukuh. Banyak kerusi dimenangi Bersatu juga disumbangkan faktor PAS kerana mereka bertanding menggunakan logo PAS,” katanya.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri yang senada dengan Syaza berkata, sejarah menunjukkan PAS boleh berdiri sendiri dan kekal relevan dengan merujuk kejayaan pada PRU 1959 dan 1969 di mana ia mampu menguasai Kelantan dan Terengganu tanpa bergantung pada rakan kongsi.

Katanya, jika PAS bergerak solo pada PRU16 ia berpotensi mengekalkan dominasi di kubu tradisi dan menambah kerusi dengan naratif Islam, Melayu serta integriti politik.

Penganalisis dari Global Asia Consulting itu turut merujuk prestasi Bersatu dalam siri PRK sepanjang tiga tahun kebelakangan ini yang disifatkan tidak memberangsangkan dan menunjukkan kelemahan jentera serta sokongan akar umbi.

“Jadi, dengan kekuatan akar umbi dan sejarah kemenangan, PAS mampu muncul sebagai kuasa ketiga dalam membentuk kerajaan pusat, menjadikan mereka kuasa penentu yang tidak boleh diketepikan dalam percaturan politik nasional,” katanya.

Tiada ulasan: