Op Selera: 38 tukang masak, pelayan restoran warga asing ditahan
Azizi Majid

Anggota JIM Johor memeriksa warga asing dalam serbuan Ops Selera di kedai makan sekitar Johor Bahru semalam. FOTO ihsan JIM Johor
JOHOR BAHRU: Seramai 38 warga asing yang bekerja sebagai tukang masak dan pelayan restoran ditahan dalam Op Selera oleh Jabatan Imigresen Negeri Johor di sekitar daerah ini semalam.
Pengarahnya, Datuk Rusdi Mohd Darus berkata, operasi jam 11 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti warga asing di premis-premis menjual makanan berkenaan.
“Ketika serbuan dijalankan, beberapa individu dipercayai cuba melarikan diri dan mengelak daripada diperiksa, namun tindakan pantas pegawai penguat kuasa berjaya mengawal keadaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat individu gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta permit kerja yang sah,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Rusdi berkata, semua yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 14 wanita warga Indonesia berusia antara 18 hingga 50 tahun.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Dua lelaki warga tempatan yang dipercayai bertugas sebagai pengurus premis turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Sebanyak tiga keping Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan lanjut pihak imigresen,” katanya.
Semua yang ditahan dihantar kenyataan Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan