FMT Reporters
Ketua Polis Klang Selatan Lim Jit Huey berkata punca dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham serta ejek-mengejek antara dua kumpulan remaja.

Tangkap layar video tular pergaduhan dua kumpulan remaja berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang Selatan.
PETALING JAYA: Lapan termasuk pelajar Tingkatan 2 ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam insiden tular pergaduhan berhampiran sebuah sekolah menengah di Klang Selatan, petang kelmarin.
Ketua Polis Klang Selatan, Lim Jit Huey, berkata mereka yang berusia 14 hingga 24 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira 1 pagi.
“Siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku pada 6.50 petang, 19 Mei lalu.
“Hasil siasatan awal mendapati sebahagian daripada tangkapan masih berstatus pelajar sekolah, manakala selebihnya tidak bersekolah.
“Punca dan motif pergaduhan dipercayai akibat perselisihan faham dan ejek-mengejek di antara dua kumpulan remaja berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Terdahulu, tular di media sosial satu video berdurasi 26 saat memaparkan pergaduhan kumpulan berkenaan berhampiran sekolah menengah terbabit.
Selain itu Lim berkata insiden berkenaan tidak membabitkan sebarang unsur kongsi gelap atau kumpulan gangsterisme.
Katanya, permohonan reman dibuat ke atas semua tangkapan hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menimbulkan kegusaran awam serta menjejaskan proses siasatan.
“Mereka yang mempuyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkan terus ke IPD Klang Selatan atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan