Mohd Ishak Abdillah Ngah

Tertuduh, Mohd Faizal Fauzi, 39 mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api, peluru, pistol tiruan dan kerambit
KUALA TERENGGANU: Seorang penolong pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas empat pertuduhan membabitkan pemilikan senjata api, peluru, pistol tiruan dan kerambit, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Faizal Fauzi, 39, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson secara menyalahi undang-undang dalam sebuah kenderaan di tepi Jalan Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu kira-kira jam 6.30 petang, 10 Mei lalu.
Dia turut didakwa memiliki 77 butir peluru pelbagai kaliber tanpa lesen sah, selain memiliki sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft serta dua bilah kerambit di tempat awam tanpa alasan munasabah.
Mahkamah menetapkan 7 Jun depan untuk sebutan fakta kes dan hukuman, dengan tiada jaminan ditawarkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, tertuduh turut berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 227.18 gram di lokasi dan masa sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki dadah disyaki Nitrazepam seberat 18.56 gram.
Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan