Agensi
Canberra: Penemuan kamera tersembunyi di dalam kabin kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Leeuwin, mencetuskan siasatan selepas dakwaan peranti seumpama itu dipasang di bilik mandi wanita di atas kapal berkenaan.
Memetik The Independent, Pasukan Pertahanan Australia (ADF) memaklumkan, peranti rakaman itu ditemukan pada Ahad lalu ketika kapal berkenaan berada di Cairns, Queensland.
Senator bebas, Jacqui Lambie, yang memperjuangkan kebajikan anggota angkatan tentera Australia, sebelum itu memberitahu Senat bahawa seorang bekas anggota tentera laut memaklumkan kepadanya mengenai kamera tersembunyi di kemudahan bilik mandi wanita kapal berkenaan.
Beliau turut mendakwa, menerima maklumat bahawa rakaman daripada kamera itu mungkin sudah dimuat naik ke internet sebelum peranti berkenaan ditemukan.
"Berapa ramai anggota tentera laut wanita kita yang dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika berada dalam situasi paling peribadi? Berapa banyak rakaman sudah diedarkan di internet setakat ini, disimpan atau dimuat naik tanpa pengetahuan atau persetujuan mereka?" katanya.
Pada Rabu, ADF menegaskan, pihaknya memandang serius kejadian itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku yang tidak boleh diterima.
Menurut ADF, kes berkenaan sudah dirujuk kepada Unit Polis Tentera Bersama yang sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa awam.
"Kapal itu kekal berlabuh bagi membolehkan siasatan dijalankan dan memastikan sokongan segera diberikan kepada anggota kru kapal," kata ADF.
ADF turut memaklumkan, kebajikan individu yang terjejas kekal menjadi keutamaannya, namun enggan memberikan ulasan lanjut kerana siasatan masih berjalan dan bagi melindungi privasi mereka.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Anika Wells menyifatkan, kejadian yang didakwa berlaku itu sebagai mengerikan dan berkata insiden berkenaan menunjukkan kepentingan undang-undang baharu berkaitan tanggungjawab penjagaan dalam ruang digital.
Beliau berkata, anggota yang berada di atas kapal itu serta mereka yang mungkin menjadi mangsa perbuatan berkenaan wajar mendapat perhatian, selain menegaskan setiap individu berhak berasa selamat di tempat kerja.
Ketua Parti Hijau merangkap jurucakap pertahanan, David Shoebridge pula menyifatkan, perkembangan itu sebagai amat membimbangkan.
"Kita tahu ramai wanita tidak berasa selamat di dalam persekitaran Pertahanan dan sekali lagi kita menyeru Parti Buruh supaya memulihkan keyakinan anggota Pertahanan, selain memastikan wanita dan individu lain berasa selamat dalam persekitaran Pertahanan," katanya.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan