"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Buruh mengaku salah lakukan khianat, ceroboh masjid

Siti Rohana Idris
Tertuduh (tengah) mengaku bersalah di Mahkaman Majistret Pasir Mas.- Foto NSTP
PASIR MAS : Seorang buruh mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan termasuk merosakkan dan menceroboh masjid di Kampung Berangan, Tumpat, pada 5 Oktober lalu.

Manjesh Singh Shukdev Singh, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memecahkan cermin dan merosakkan karpet Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, dengan menyimbah cecair berbau busuk, dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu akan dianggap sebagai keaiban terhadap agama Islam oleh penganutnya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh masuk ke masjid berkenaan dengan niat melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4.35 pagi, 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Zharifah Insyirah Zahari, manakala tertuduh diwakili peguam Noor Suhadah Mohamed Ripim daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 sementara menunggu hukuman bagi dua pertuduhan itu pada 23 November depan.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa memberikan dadah jenis methamphetamine kepada dirinya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tumpat pada jam 1 pagi, 17 Oktober lalu.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM5,000 bagi pertuduhan itu, namun mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin.

Sebutan semula kes ditetapkan 20 Januari depan untuk laporan kimia.

Tiada ulasan: