"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ada rancangan halang Dr Sam jadi pengerusi PN?

'Ainin Wan Salleh

PETALING JAYA: Perasaan tidak senang berhubung potensi Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, menjadi pengerusi Perikatan Nasional (PN) mencetuskan desas-desus mengenai Muhyiddin Yassin kembali sebagai kemudi.

Sumber dalaman PN mendakwa, beberapa pemimpin Bersatu tidak selesa dengan idea seorang naib presiden parti menerajui gabungan pembangkang itu. Mereka berhujah bahawa PN sepatutnya dipimpin seorang presiden parti seperti yang diamalkan oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

Sumber ini, yang minta tidak dinamakan, berkata kebimbangan itu mungkin menyaksikan Bersatu mendesak presidennya, Muhyiddin, menuntut semula jawatan tersebut.

Bagi membolehkan perkara itu berlaku, pencalonan Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam mungkin perlu ditolak terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN, dan dibalas dengan satu usul menamakan Muhyiddin sebagai pengerusi, katanya.

“Beberapa pemimpin yang memihak kepada Muhyiddin mungkin membentangkan usul untuk mengeluarkan Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dan Naib Presiden, Ronald Kiandee, daripada majlis tertinggi PN,” tambahnya.

Menurut sumber tersebut, ketiadaan Hamzah dan Kiandee boleh mengubah komposisi majlis itu lalu condong kepada Muhyiddin, sekali gus membuka laluan kepada undi majoriti yang menyokong Muhyiddin dilantik semula.

Ditanya sama ada langkah sedemikian boleh mengeruhkan lagi hubungan dengan PAS, sumber itu berkata pemimpin Bersatu yang terlibat ‘sudah tidak peduli lagi’.

PAS dilihat bertegas jawatan pengerusi PN harus dipegang oleh wakilnya susulan keputusan Muhyiddin meletak jawatan.

Peletakan jawatan Muhyiddin menyusuli ketegangan akibat kemelut di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.

Sumber itu turut membayangkan “setiap langkah yang diambil seolah-olah membawa Bersatu lebih dekat kepada Pakatan Harapan (PH)”.

Berkenaan motif di sebalik kerjasama itu, sumber itu mendakwa PH ‘memerlukan alternatif untuk menggantikan Umno’ dan Muhyiddin pula ‘terdesak untuk menggugurkan kesnya di mahkamah’.

Muhyiddin sedang berhadapan tujuh pertuduhan salah guna kuasa dan menerima hasil daripada aktiviti haram. Perbicaraannya dijadualkan pada Mac.

“Mana tahu, perbincangan antara kedua-dua pihak mungkin sudah pun bermula,” kata sumber itu.

Tiada ulasan: