FMT Reporters
PETALING JAYA: Puad Zarkashi menegaskan akan menjadi individu pertama membantah jika cadangan penyatuan politik antara Umno dan PAS dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan datang.
Ahli MKT itu berkata, penyatuan politik atas nama kuasa antara kedua-dua parti terbabit bukan idea baik, malah berpotensi mencetuskan lebih banyak masalah dalam jangka panjang.
“Kalau ada perbincangan penyatuan Umno-PAS dalam mesyuarat MKT akan datang saya menjadi ahli MKT pertama akan bercakap membantah cadangan tersebut.
“Saya percaya penyatuan politik Umno-PAS tidak akan berjaya. Ia bersifat sementara dan akhirnya akan berakhir dengan sakit hati,” katanya di Facebook.
Adun Rengit itu mendakwa, PAS mempunyai rekod memanipulasi sentimen agama demi kepentingan politik, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keikhlasan parti tersebut dalam sebarang bentuk penyatuan.
“Kalau PAS boleh salah guna agama, apatah lagi Umno. PAS akan gunakan Umno semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya.
Beliau berkata, walaupun penyatuan itu kelihatan menarik di atas kertas, realiti politik PAS menunjukkan ia mempunyai masalah dalaman yang sukar diubah.
“PAS ada penyakit politik yang sukar disembuhkan. Mereka suka ‘berkahwin dan bercerai’ dalam politik, cepat berkahwin, tetapi cepat juga bercerai,” katanya.
Puad mengingatkan sejarah kerjasama politik PAS menunjukkan hampir semua gabungan yang disertainya berakhir dengan kegagalan, termasuk Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan kini Perikatan Nasional (PN).
“Semua gabungan itu sudah berkubur. PN pula hanya menunggu masa,” katanya, sambil menambah setiap kali perpisahan berlaku, gabungan politik terbabit biasanya ‘tutup kedai’ untuk selama-lamanya.
Sehubungan itu, Puad berpandangan kerjasama longgar lebih realistik berbanding penyatuan penuh antara Umno dan PAS.
“Lebih baik tubuh kerjasama longgar. Ia mesti menyeluruh. Bukan setakat untuk PRU. Kalau kedua pihak ikhlas ia akan kuat dengan sendirinya,” katanya.
Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh dalam konvensyen khas Sabtu lalu menggesa Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan dan bekerjasama dengan PAS di blok pembangkang atas dakwaan berlaku pelanggaran berulang ‘garis merah’ melibatkan isu 3R – kaum, agama dan raja.
Presiden Zahid Hamidi kemudian dilaporkan berkata, Umno kekal bersama kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan