Ersie Anjumin
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan sembilan sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, kerana merogol remaja perempuan berusia 17 tahun yang memberikannya makanan atas dasar simpati.
Tertuduh, Hazmi Abdul Gaffar, 51, yang turut didakwa melakukan serangan seksual menggunakan objek tanpa kerelaan mangsa, mengaku bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Hakim Zaini Fishir.
Bagi pertuduhan pertama, Hazmi dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan kerana merogol mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di tepi jalan berhampiran sebuah bangunan di Jalan Kepayan, kira-kira jam 7 malam, 22 Disember tahun lalu.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 376(2)(a) Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara lapan tahun dan empat sebatan kerana melakukan hubungan seksual menggunakan objek terhadap mangsa sama pada waktu dan lokasi yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak, bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selain dikenakan sembilan sebatan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa didekati tertuduh ketika sedang berjalan di jejambat pejalan kaki kira-kira jam 6 petang pada hari kejadian.
Tertuduh memulakan perbualan dengan mendakwa mangsa mirip anaknya sebelum berkongsi masalah peribadi.
Apabila mangsa cuba beredar, tertuduh memegang tangannya dan meminta nombor telefon serta memaksa mangsa membuat panggilan ke telefon bimbitnya.
Kira-kira jam 7 malam hari sama, tertuduh menghubungi mangsa semula dan mendakwa tidak makan sepanjang hari sebelum meminta remaja itu membawakannya makanan.
Mangsa yang bersimpati kemudian membungkus makanan untuk bertemu tertuduh, namun dia diheret ke kawasan semak di lokasi kejadian.
Walaupun cuba melawan, mangsa gagal melepaskan diri selepas tertuduh mencekik serta menumbuk rusuk kirinya.
Tertuduh turut mengugut untuk membunuh keluarga mangsa sekiranya dia menjerit, menyebabkan remaja itu ketakutan dan berhenti melawan.
Selepas kejadian, tertuduh melepaskan mangsa dengan syarat tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa sambil mengulangi ugutan sama.
Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada rakannya sebelum membuat laporan polis yang membawa kepada penangkapan tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Eugenie A. Gilbert.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan