"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MN tak jadi, PN bergoncang: Pas alami dilema besar menuju PRU16

Harapandaily

Pas kini berdepan dilema politik yang besar apabila percubaan menghidupkan kembali kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO tidak menjadi kenyataan, sementara masa depan Perikatan Nasional (PN) pula dilihat semakin tidak menentu.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata situasi yang dihadapi Pas ketika ini ibarat yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran, merujuk kepada kegagalan usaha MN 2.0 serta krisis dalaman yang melanda PN.

Menurut beliau, secara tradisi Pas merupakan parti yang kuat di kawasan majoriti Melayu, khususnya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kawasan utara seperti Kedah, namun agak sukar menembusi kawasan Pantai Barat dan zon selatan negara.

Bagaimanapun, katanya, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) memberi keuntungan berganda kepada Pas apabila pembentukan PN bersama Bersatu membolehkan parti itu menembusi segmen pengundi yang sebelum ini gagal dicapai.

“Melalui jenama PN dan keyakinan pengundi Melayu terhadap calon Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas muncul sebagai parti tunggal yang memenangi kerusi Parlimen terbanyak dan mempunyai wakil paling ramai di Dewan Rakyat,” katanya.

Namun, Yusri berpendapat menuju PRU16 yang dijangka dalam tempoh dua tahun lagi, masa depan PN berada dalam keadaan tidak stabil susulan krisis dalaman Bersatu termasuk pertembungan dua kem kepimpinan serta ketegangan hubungan dengan Pas, khususnya selepas krisis politik di Perlis.

Beliau berkata, keadaan menjadi semakin rumit apabila wujud ura-ura kebangkitan semula kerjasama MN antara Pas dan UMNO, yang secara tidak langsung memburukkan hubungan Pas dengan Bersatu.

Menamatkan spekulasi

Ketegangan itu akhirnya, kata beliau, membawa kepada perletakan jawatan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diikuti Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta beberapa pemimpin kanan lain daripada Bersatu.

Tambahnya, perkembangan itu turut disusuli pengumuman rasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa UMNO tidak akan menjalin kerjasama dengan Pas, sekali gus menamatkan spekulasi MN 2.0.

Penganalisis politik itu berpendapat, pada peringkat awal perletakan jawatan Muhyiddin dilihat membuka ruang luas untuk Pas mengambil alih kepimpinan PN.

Namun selepas itu, ujarnya, beberapa dilema besar mula timbul, khususnya berkaitan pemilihan figura yang sesuai untuk mempengerusikan gabungan tersebut.

“Secara konvensyen, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat calon paling layak.

“Namun timbul persoalan mengenai tahap kesihatan beliau serta keupayaannya meraih keyakinan awam untuk mengetuai gabungan besar seperti PN,” katanya.

Yusri berkata, antara nama lain yang sering disebut ialah Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, namun cadangan itu turut mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan parti komponen PN dan dalaman Pas sendiri.

Isu yang dibangkitkan termasuk kesesuaian pemimpin yang berada pada hierarki lebih rendah dalam parti untuk mengetuai gabungan besar, selain rekod penglibatan beliau dalam pentadbiran PN yang dianggap kurang menonjol selepas meletakkan jawatan sebagai Bendahari PN pada Disember 2024.

“Bagi Pas mungkin ok, tapi bagi parti-parti lain mungkin agak janggal apabila presiden mereka terpaksa jadi timbalan kepada pengerusi yang lebih rendah hieraki dalam parti, yang tidak memiliki kuasa eksekutif secukupnya dalam parti sendiri,” kata beliau.

Wujud kelompok

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut menjelaskan bahawa wujud kelompok dalam Pas yang lebih cenderung melihat Presiden atau Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai calon lebih selari dengan prinsip kepimpinan parti.

“Bahkan ada pandangan menyatakan, sekiranya bukan dua figura ini, lebih baik jawatan Pengerusi PN dikekalkan kepada Bersatu,” katanya.

Beliau menambah, selain dilema politik besar, PN juga berdepan kekangan pentadbiran apabila perletakan jawatan Muhyiddin hanya sah selepas diluluskan Majlis Tertinggi PN, sedangkan Setiausaha Agung yang berperanan memanggil mesyuarat turut telah meletak jawatan.

“Persoalan sama ada mesyuarat dapat diadakan dan sama ada Majlis Tertinggi akan menerima perletakan jawatan tersebut turut menjadi perhatian banyak pihak,” katanya.

Menurut Dr Mohd Yusri, dalam sistem politik Malaysia, PN masih dilihat sebagai ‘kerajaan menunggu’, justeru sebarang perubahan dalam gabungan itu akan memberi kesan langsung kepada landskap politik negara.

“Sebab itu PN khususnya Pas dan Bersatu terus jadi sorotan utama lensa politik negara sehari dua ini,” kata Yusri lagi.

Tiada ulasan: