"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pahang: Kanak-kanak 10 tahun nyaris maut dibelit ular sawa batik

Fazli Ahmad

PEKAN: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di kaki selepas digigit ular sawa batik di perkarangan rumah bapa saudaranya di Kampung Temai Hulu, di sini, semalam.

Kejadian berlaku apabila mangsa, Abdul Rafka Azka Abdullah, 10, tersepak reptilia sepanjang kira-kira enam meter dan seberat hampir 50 kilogram itu, ketika berlari menuju ke rumah bapa saudaranya kira-kira jam 6.30 petang.

Abangnya, Muhammad Nukman Muhammad Nizam, 26, berkata, ketika kejadian dia berada di hadapan rumahnya kira-kira 20 meter dari lokasi adiknya dibelit ular berkenaan, sebelum terdengar jeritan meminta tolong.

“Ketika itu, ular tersebut sudah membelit dari kaki hingga ke badan dan saya nampak mulut haiwan itu melekat di kaki kanannya sehingga menyebabkan pendarahan.

“Saya cuba membuka belitan itu tetapi gagal, sebaliknya ular menyebabkan kami berdua terjatuh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Muhammad Nukman berkata, sebaik terjatuh dan hampir dibelit ular itu, dia menjerit memanggil bapa saudaranya yang ketika itu berada di dalam rumah.

Menurutnya, sebaik bapa saudaranya, Ramzi Mohamad Amin, 57, datang membantu, dia cuba membuka belitan ular itu dan mencari bahagian kepalanya.

Katanya, pada peringkat awal, Ramzi menggunakan tangan untuk membuka mulut ular tersebut bagi melepaskan gigitan di kaki adiknya, namun gagal.

“Ketika cuba membuka mulut ular itu, jari dan tangan bapa saudara saya turut cedera terkena gigi reptilia berkenaan sebelum dia bergegas mencari senjata tajam.

“Bapa saudara saya kemudian mengambil senjata tajam dan mencungkil bahagian mulut ular berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan kaki adik saya serta melepaskannya daripada belitan ular itu.

“Sukar untuk melepaskan belitan ular itu kerana terlalu kuat dan mengambil masa kira-kira 30 minit,” tambahnya.

Menurut Muhammad Nukman, susulan kejadian itu adiknya yang cedera di kaki dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ramzi berkata, ular sawa itu dipercayai datang dari kawasan semak dan kebun getah berhampiran rumahnya.

Menurutnya, dia pernah menemui ular sawa di reban ayam berhampiran rumahnya beberapa tahun lalu, namun saiznya lebih kecil.

“Ular sawa kali ini jauh lebih besar dan panjang, namun berkemungkinan haiwan yang sama,” katanya.

Ular berkenaan kini telah diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang ke lokasi kejadian selepas menerima laporan hari ini.

Tiada ulasan: