"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penyamun pun pakai seragam

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

TANGKAP layar CCTV yang memaparkan suspek memecah masuk kediaman di Taman Anjung Gapam, Melaka
JASIN – Polis memburu tiga lelaki memakai ‘hoodie’ dan bertopeng yang disyaki memecah masuk sebuah rumah sebelum melarikan wang tunai dalam kejadian di Taman Anjung Gapam, Bemban di sini, semalam.

Beberapa klip video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dipercayai berkaitan kejadian turut tular memaparkan suspek berjalan secara santai di kawasan perumahan tersebut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, kejadian itu disedari pemilik rumah berusia 37 tahun yang menerima notifikasi CCTV di telefon bimbitnya ketika dalam perjanan pulang dari bekerja kira-kira pukul 9.20 malam.

“Rakaman CCTV berkenaan menunjukkan dua individu disyaki lelaki telah memecah masuk ke dalam rumah mangsa, manakala seorang lagi dipercayai bertindak sebagai pemerhati di luar kediaman tersebut.

“Mangsa yang merupakan pengurus pusat kecantikan kemudian menghubungi Balai Polis Bemban untuk mendapatkan bantuan awal sebelum pasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasukan Unit Kereta Peronda (MPV) yang mengiringi mangsa pulang ke rumah kemudiannya menjalankan pemeriksaan dan mendapati laci almari di bilik utama telah terbuka serta wang tunai pelbagai mata wang asing dilaporkan hilang.

“Antara mata wang yang dilarikan termasuk wang China, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Eropah dan Korea dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM1,500.

“Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah dengan cara mengumpil besi jeriji dan pintu kayu di bahagian hadapan rumah,” ujarnya.

Menurutnya, proses forensik di lokasi kejadian telah berjaya mengesan lapan cap jari yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek dan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) turut digerakkan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: