MOHD YUNUS YAKKUB

Ali ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
SHAH ALAM – Penjual permaidani diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.4 kilogram (kg), enam tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie yang dihadapi Ali Sajjad, 34, yang merupakan warga Pakistan, di akhir kes pendakwaan.
Latifah dalam penghakimannya memaklumkan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen antaranya barang kes dirampas adalah dadah termasuk dalam Akta berbahaya yang disahkan ahli kimia.
“Tertuduh mempunyai jagaan, kawalan, dan milikan terhadap dadah tersebut dengan jelasnya apabila dadah dijumpai di dalam rumah sewa tertuduh yang membuktikan tertuduh mempunyai ‘exclusive power of deal’.
“Tertuduh juga mempunyai pengetahuan berkenaan dadah tersebut apabila dadah dijumpai di tempat tersembunyi di dalam almari dengan SP2 (anggota polis risikan operasi ) tidak akan diketahui tanpa dipandu arah oleh tertuduh sendiri,” tegasnya.
Mahkamah turut mendapati tertuduh mengedar dadah itu dengan menemukan sejumlah dadah dalam kuantiti yang besar dan tidak memungkinkan untuk kegunaan tertuduh sendiri.
“Malah kredibiliti enam saksi pendakwaan tidak tercemar, konsisten serta sailing menyokong antara satu sama lain dan wajar diterima mahkamah,” jelas Latifah.
Mengikut pertuduhan, Ali didakwa telah mengedar dadah jenis kanabis seberat 1,404.43 gram di sebuah premis di Seri Kembangan pada 4 Disember 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Heikal Ismail telah mengemukakan enam orang saksi sepanjang perbicaraan bermula 10 April tahun lalu manakala Ali diwakili Peguam Thamarah Sudhir.
Prosiding pembelaan akan dilakukan esok. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan