Nora Mahpar
Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh berkata kehadiran kehadiran Khairy bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang Umno kekal sebagai 'rumah'.

Khairy Jamaluddin hadir ke persidangan Pemuda Umno yang pernah diketuainya dari 2009 hingga 2018. (Gambar Instagram)
KUALA LUMPUR: Detik penuh emosi menyelubungi Dewan Merdeka hari ini apabila Khairy Jamaluddin kembali menjejakkan kaki ke pentas Perhimpunan Agung Umno (PAU) buat kali pertama sejak dipecat pada Januari 2023.
Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang berucap mengalu-alukan kehadiran bekas ketua sayap itu berkata kehadiran Khairy bukan sekadar simbol kepulangan seorang tokoh lama, sebaliknya lambang Umno kekal sebagai ‘rumah’ buat bekas pemimpin.
“Ditendang kiri dan kanan, diasak atas dan bawah… hari ini saya nak beritahu, jiwa besar Presiden Umno (Zahid Hamidi). Alhamdulillah, kita jemput chief (KJ) kembali masuk ke Dewan Merdeka ini,” kata Akmal, disambut sorakan gemuruh perwakilan.
“Saya percaya ini rumah kita. Di sinilah segalanya bermula,” katanya menyampaikan ucapan dasar sempena PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Khairy, yang lebih dikenali sebagai KJ, dilihat bangun dari tempat duduknya dengan wajah sebak, mengangkat tangan ke arah perwakilan sebagai tanda penghormatan.
Bekas menteri persekutuan itu dipecat dari Umno kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15. Beliau menjadi ketua pemuda Umno dari 2009 hingga 2018.
Pada PRU 2022, Khairy secara terbuka mengkritik Presiden Umno Zahid Hamidi, khususnya selepas Barisan Nasional (BN) mencalonkannya bertanding di kawasan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) di Sungai Buloh.
Khairy tewas kepada calon PKR, R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi.
Akmal turut mengimbas kembali perbezaan pandangan yang pernah wujud dalam parti, termasuk perdebatan ketika cadangan membawa masuk bekas pemimpin Bersatu suatu ketika dahulu, yang mencerminkan dinamika dalaman Umno.
“Mungkin ada yang bersetuju, mungkin ada yang tak bersetuju. Tetapi inilah Umno. Kita boleh berbeza pendapat, namun kita tidak pernah mengkhianati perjuangan.
“Kita adalah sebuah keluarga Umno,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan