"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘PN hilang pemandu, SG4 menuju jalan mati’

Malaysiakini 

Perikatan Nasional (PN) kini di ambang perpecahan susulan perselisihan antara PAS dan Bersatu berhubung isu pelantikan Menteri Besar Perlis, yang membawa kepada perletakan jawatan Pengerusi PN, kata Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Menurutnya, perkembangan itu menandakan “tiada lagi masa depan” bagi pakatan SG4 yang merangkumi Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, dan menggambarkan PN sebagai kehilangan pemandu, dengan SG4 kini menuju “jalan mati”.

“Ketidakstabilan PN hari ini sudah sudah pasti memberi kesan sama ada usaha SG4 telah dihentikan.

“Sejak ia diumumkan pada tahun 2023 sehingga kini, tidak ada satu pun pelaburan yang dibawa masuk oleh SG4,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Faiz menegaskan bahawa PAS perlu membentangkan laporan prestasi SG4 secara terbuka agar rakyat dapat menilai keberkesanan gabungan itu dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi, dan bukannya bergantung kepada sentimen kaum dan agama semata-mata.

Sebaliknya, menurut Faiz, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim terus memastikan pelaburan masuk ke negeri-negeri SG4 melalui agensi persekutuan tanpa diskriminasi.

Sebagai contohnya, katanya, di Kedah, majoriti pelaburan berlaku di Kulim Hi-Tech Park melalui agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).

Faiz turut menegaskan bahawa walaupun PAS-Bersatu sibuk dengan permainan politik, kerajaan Madani telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuh kuasa beli rakyat, termasuk suntikan tunai RM15 bilion, kenaikan gaji sektor awam RM8 bilion, dan peruntukan RM200 juta bagi sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz.

Selain itu, langkah-langkah fiskal dan reformasi institusi seperti pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penubuhan Ombudsman dijangka mengukuhkan lagi tadbir urus negara, katanya.

“Rakyat harus menilai kemampuan kerajaan Madani secara adil.

“Kerajaan ini bekerja, dan telah melaksanakan 773 inisiatif sepanjang tiga tahun pentadbiran, disokong kestabilan politik gabungan Perpaduan,” tambahnya.

Faiz menekankan bahawa kegagalan SG4 dan pergolakan PN menunjukkan bahawa gabungan tersebut lebih mengutamakan politik berbanding pembangunan sosioekonomi rakyat.

Tiada ulasan: