Malaysiakini
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai exco Melaka.
Memaklumkan perkara itu ketika berucap pada Perhimpunan Pemuda Umno, Akmal berkata peletakan jawatan itu melibatkan portfolionya sebagai Exco Kemajuan Desa dan Keterjaminan Makanan negeri.
Katanya peletakan jawatan tersebut akan berkuat kuasa pada minggu depan.
Pengumuman tersebut turut disaksikan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, turut hadir dalam persidangan berkenaan sebagai pemerhati.
Kata Akmal, keputusan yang diambil itu bersandarkan kepada maruah.
"Apabila orang suruh saya letak jawatan, saya nak bagi tahu yang saya ada maruah. Saya ini orang yang akan bawa suara rakyat di bawah. Saya bawa suara akar umbi yang keresahan.
"Saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai exco kerajaan Melaka berkuatkuasa minggu depan," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Adun Merlimau itu lagi, sebelum membuat keputusan tersebut dia sudah bertemu dengan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, serta Ab Rauf.
Hentikan pertelagahan sesama sendiri
Pada peringkat awal, katanya, dia ingin meletakkan kesemua jawatan namun dinasihatikan oleh pemimpin Umno agar hanya melepaskan jawatan exco Melaka.
Desas-desus peletakan semua jawatan Akmal mula hangat selepas tersebar tangkap layar yang menunjukkan dia bercadang berbuat demikian pada 9 Jan lalu.
Menurut sumber yang rapat dengan Umno, Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin pemuda parti itu menerusi mesej WhatsApp. Ketika itu Akmal masih berada di Shanghai, China.
“Apabila orang Melayu telah bersuara, dan parti telah membuat keputusan.
“Sebagai orang yang terlalu sayangkan parti ini, aku akur dengan keputusan parti, tetapi apalah makna pemimpin jika kita tidak menghormati suara mereka?
“Maka dengan penuh rendah diri aku rasakan bahawa aku perlu ambil tanggungjawab keseluruhan untuk parti yang kita sayangi ini.
“Maka insya-Allah, selepas aku balik dari Shanghai ini aku akan meletakkan semua jawatan dalam parti dan juga jawatan saya sebagai wakil rakyat,” katanya dalam grup WhatsApp itu.
Dalam ucapan hari ini juga Akmal menyeru pucuk pimpinan parti itu supaya menghentikan pertelagahan dan membuka pintu seluas-luasnya kepada mereka yang dipecat ataupun digantung keahlian.
Untuk menjayakan usaha itu, katanya, semua pihak perlu mengetepikan ego masing-masing dan bersatu demi kekuatan dan kelangsungan parti.
"Sudah-sudahlah kita bertelagah sesama sendiri.
"Saya dengan penuh kerendahan hati memohon kepada Datuk Seri Presiden agar dibuka pintu Umno untuk mereka yang masih sayang kepada perjuangan, walaupun ada antara mereka digantung, ada dibuang, ada antara mereka masuk parti lain, tapi jiwa mereka jiwa Umno .
"Masih belum terlambat.. macam Datuk Seri (Presiden) ungkap semalam: Welcome back to Umno," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan