"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru dipenjara selepas lahir anak hasil hubungan dengan pelajar bawah umur

KOSMO!
CRAIG melahirkan seorang bayi selepas melakukan hubungan dengan salah seorang pelajarnya. - ABC News/ David Weber
CANBERRA – Seorang guru muzik wanita di Mandurah, Australia Barat dijatuhi hukuman penjara lebih lapan tahun selepas mengaku bersalah melakukan penderaan seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 12 tahun sehingga melahirkan anak, lapor saluran berita ABC News.

Tertuduh, Naomi Tekea Craig, 34, ditahan selepas perbuatannya melakukan serangan seksual terhadap mangsa dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kediaman ibu kanak-kanak itu.

Mahkamah Daerah dimaklumkan bahawa tertuduh mendera mangsa selama lebih setahun, iaitu ketika kanak-kanak itu berusia 12 dan 13 tahun, sebelum melahirkan seorang bayi perempuan pada Januari lalu, beberapa minggu selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Menurut fakta kes, Craig mengenali mangsa selepas kanak-kanak itu berpindah ke Mandurah dari negeri lain pada 2023 dan mendaftar di sekolah tempatnya mengajar. 

Hubungan mereka bermula menerusi kumpulan muzik sekolah yang diselia Craig, sebelum guru itu turut menjalinkan hubungan rapat dengan ibu mangsa.

Walaupun mangsa kemudiannya bertukar ke sekolah lain, Craig terus mengekalkan hubungan dengan menghantar mangsa ke sekolah baharu serta memiliki kunci rumah keluarga berkenaan, lokasi kejadian penderaan pertama berlaku.

Tertuduh juga dilaporkan membelikan hadiah termasuk langganan muzik dengan mengugut untuk membatalkannya sekiranya mesejnya tidak dibalas, selain mengawal media sosial mangsa serta menghantar gambar dan video lucah dirinya.

Pada Mei 2025, Craig yang sudah memiliki seorang anak lelaki menyuarakan hasrat untuk menambah cahaya mata sebelum disahkan hamil, malah menyatakan keinginan untuk memiliki lebih ramai anak bersama mangsa.

Sebulan sebelum ditahan pada Disember 2025, dia turut menghantar mesej merayu perhatian dan kasih sayang daripada remaja terbabit.

Pada Selasa lalu, Craig mengaku bersalah atas 12 pertuduhan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak, termasuk melakukan persetubuhan dengan kanak-kanak bawah usia 13 tahun, memperdaya kanak-kanak untuk perlakuan seksual serta memiliki bahan eksploitasi kanak-kanak. 

Dia bagaimanapun layak memohon parol selepas menjalani hukuman penjara selama enam tahun setengah. – AGENSI

Tiada ulasan: