"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah kanan Masscom UiTM meninggal dunia ketika mengajar

MOHD RIDZAUDDIN ROSLAN
PETALING JAYA – Seorang pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi Mara Shah Alam dilaporkan meninggal dunia ketika sedang mengajar di sebuah kolej kediaman pelajar semalam.

Allahyarham Dr. Hamimda Agil yang juga Ketua Unit Kualiti di fakulti terbabit dipercayai rebah kira-kira pukul 10 malam semalam sebelum disahkan meninggal dunia selepas itu.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Perhubungan Awam FKPM UiTM Shah Alam, Dr. Abdul Hamid Saifuddin, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri selepas selesai mengendalikan kelas bertajuk ‘More than a CV: Building Your Personal Brand’.

“Susulan itu, Allahyarham dibawa ke Unit Forensik Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat pada pagi tadi sebelum semua urusan itu selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.

“Selepas itu, jenazah akan dibawa ke Masjid Nurul Amin di Kampung Merbau Sempak, Sungai Buloh untuk kebumikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Sementara itu, menurut Pensyarah Kanan Program Periklanan FKPM UiTM Shah Alam, Dr. Shifa Faizal, Allahyarham yang mesra disapa Dr. Mim begitu disegani dan mudah didekati oleh setiap pelajar.

“Dalam kalangan pelajar, beliau seorang pensyarah yang mudah didekati. Beliau tegas dalam soal kerja dan tanggungjawab, namun pada masa yang sama sangat memahami keadaan pelajar. Pelajar selesa untuk berbual, bertanya dan berkongsi masalah dengan beliau.

“Saya pula mengenali Dr. Mim sebagai rakan sekerja di Program Periklanan yang mana kami banyak bekerjasama, khususnya dalam pembangunan program serta hal-hal yang berkaitan dengan pelajar dan fakulti.

“Sepanjang bekerja bersama beliau, saya melihat sendiri betapa berdedikasinya beliau sebagai seorang pensyarah. Beliau rajin dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap tugas yang diamanahkan kepadanya,” katanya.

Jelas Shifa, Allahyarham juga merupakan seorang yang ceria dan positif meskipun mempunyai banyak tanggungjawab yang perlu dipikul.

“Pemergian Dr. Mim amat dirasai oleh kami di Program Periklanan. Secara peribadi, saya akan merindui keceriaan beliau dan saat-saat kami bekerja bersama.

Saya mendoakan agar keluarga beliau, khususnya kedua-dua anak perempuannya dan suaminya diberikan kekuatan dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: