FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang bayi yang baru beberapa jam dilahirkan maut dipercayai ditikam ibu kandungnya dalam kejadian di Pantai Remis dekat Ipoh pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Perak Alwi Zainal Abidin berkata, kejadian melibatkan bayi perempuan itu dipercayai berlaku pada kira-kira 1 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita berusia 19 tahun itu melakukan perbuatan berkenaan di rumahnya sebelum menghubungi teman lelakinya untuk membantu menanam mayat bayi di belakang rumah.
Kejadian terbongkar selepas suspek memaklumkan perkara tersebut kepada rakannya, tambahnya.
“Rakannya yang rasa bersalah membuat laporan polis sehingga membawa kepada penahanan wanita itu dan teman lelakinya,” katanya pada sidang media di IPK Perak, lapor Bernama.
Alwi berkata, siasatan lanjut menemukan dua kesan tikaman pada dada bayi itu dipercayai menggunakan senjata tajam, yang turut ditemukan.
Katanya, suspek dan teman lelakinya direman enam hari hingga 23 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Wanita itu juga akan menjalani pemeriksaan psikiatri bagi mengenal pasti keadaan kesihatan mentalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan