Agensi

PASANGAN kekasih ditahan selepas pasport SAR milik mereka didapati dikoyakkan secara sengaja. FOTO Agensi
Hong Kong: Jabatan Imigresen menahan pasangan kekasih di Lam Tin pada petang Khamis selepas ujian forensik Makmal Kerajaan mengesahkan empat halaman dalam pasport Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) milik seorang wanita dikoyakkan secara sengaja.
Penahanan itu sekali gus menafikan dakwaan tularnya bahawa kehilangan halaman itu berpunca daripada kecacatan pembuatan, lapor The Standard.
Bercakap kepada media pada malam Khamis, Ketua Pegawai Imigresen (Siasatan Luar) Tang Wai-yip berkata, pegawai penyiasat merampas pasport berkenaan untuk menjalani ujian saintifik selepas wanita berusia 27 tahun itu mendakwa menerusi platform media sosial Threads bahawa kesilapan cetakan menyebabkan pihak berkuasa Jepun menolak kemasukannya awal minggu ini.
Analisis forensik Makmal Kerajaan mengesan sisa gentian kertas yang menunjukkan dokumen itu diusik manusia pada bahagian halaman 15 hingga 18 yang hilang.
Penemuan itu membuktikan halaman berkenaan dikoyakkan secara paksa dan bukannya tertinggal ketika proses pengeluaran.
Susulan penemuan itu, pegawai menahan wanita terbabit bersama teman lelakinya berusia 34 tahun, yang kedua-duanya penduduk Hong Kong, di Ping Chun House, Ping Tin Estate, Lam Tin.
Mereka disyaki mengubah suai dokumen perjalanan tanpa kebenaran, memiliki dan menggunakan dokumen perjalanan yang diubah suai secara tidak sah serta mengelirukan anggota Perkhidmatan Imigresen. Kedua-duanya ditahan untuk siasatan lanjut.
Pegawai turut memaklumkan pasport itu dikeluarkan lapan tahun lalu iaitu pada 2018. Rekod imigresen menunjukkan wanita berkenaan pernah menggunakan pasport sama untuk mengembara ke beberapa destinasi tanpa sebarang masalah, sekali gus membuktikan dokumen itu berada dalam keadaan sempurna ketika dikeluarkan.
Jabatan Imigresen menegaskan setiap pasport SAR dicetak di pusat percetakan berkeselamatan tinggi dengan pemantauan komputer yang ketat selain menjalani pemeriksaan manual setiap halaman sebelum diserahkan kepada pemilik.
Justeru, kemungkinan halaman tertinggal akibat kecuaian dalam proses penjilidan ketika pengeluaran adalah mustahil.
Wanita terbabit dan teman lelakinya merancang percutian sempena hari jadi selama seminggu ke Jepun bermula 23 November lalu, namun pegawai imigresen Jepun mengesan pasport wanita terbabit melangkau terus dari halaman 14 ke halaman 19 sebelum mengarahkannya pulang ke Hong Kong dengan penerbangan seterusnya.
Dalam hantaran di Threads yang meraih lebih 1.1 juta tontonan, wanita itu mendakwa jahitan di bahagian tengah pasport tidak menunjukkan sebarang kesan koyakan dan mendakwa kakitangan imigresen di lapangan terbang Hong Kong mengesahkan kecacatan itu sebaik dia tiba.
Apabila dipanggil ke ibu pejabat imigresen di Tseung Kwan O pada Rabu untuk memberikan keterangan dan memohon pasport gantian, wanita terbabit menarik balik dakwaan bahawa pegawai imigresen menyalahkan kesilapan cetakan.
Bagaimanapun, dia masih bertegas menerusi hantaran dalam talian bahawa tidak pernah merosakkan pasport berkenaan.
Mengikut Ordinan Imigresen, perbuatan mengubah suai pasport SAR tanpa kebenaran atau memiliki serta menggunakan dokumen perjalanan yang diubah suai secara tidak sah boleh membawa hukuman maksimum denda 150,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM79,000) dan penjara 14 tahun jika sabit kesalahan manakala pihak yang bersubahat juga boleh dikenakan hukuman sama.
Sementara itu, kesalahan mengelirukan anggota Perkhidmatan Imigresen di bawah Ordinan Perkhidmatan Imigresen membawa hukuman maksimum denda 10,000 dolar Hong Kong (kira-kira RM5,200) dan penjara enam bulan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan