"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Agama apa ini?: Disuruh minum air janggut, gigi dan kaki sebagai ambil berkat – Dr Maza

Janatul Firdaus Yaacob

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendedahkan wujud kultus (cult) berunsur gengterisme agama dalam negara kita dengan mengamalkan anutan dan kepercayaan yang sangat taksub dengan pemimpin dan pertubuhan mereka.

Mohd Asri yang juga dikenali sebagai Dr Maza itu memaklumkan Majlis Fatwa Perlis telah diberikan taklimat oleh pasukan kajian termasuk juga bekas-bekas ahli pertubuhan itu yang memaparkan betapa dahsyat seolah-olah satu gengterisme yang menghalang pengikut pertubuhan itu daripada keluar – dirampas isteri, anak-anak jika mereka lari meninggalkannya.

Bahkan katanya, dibuat kepercayaan-kepercayaan tentang keagungan pemimpin mereka bahkan mereka dipaksa untuk memakan dan minum ‘air berkat’ pemimpin-pemimpin mereka yang dahulu yang dah tak ada termasuk juga yang baharu.

Kata Maza, mereka masih kena minum air berkat yakni air janggut, air gigi, air rambut dan air kaki sekali.

“Kita diberi taklimat daripada pasukan kajian membentangkan kepada Majlis Fatwa satu kajian berhubung dengan satu pertubuhan yang dalam negeri Perlis pun ada dan banyak di negeri-negeri lain lagi. Dia ada rangkaian-rangkaian dia, ada restoran, ada mart dia, ada macam-macam.

“Dulu mereka berkait dengan pemimpin mereka yang sudah meninggal yang mempercayai tentang al-Mahdi dan pelbagai lagi. Kini mereka dah tukar nama pertubuhan yang baharu, jadi mereka ini beri taklimat tentang keadaan pertubuhan ini yang memberikan taklimat itu ialah orang yang lari keluar daripada pertubuhan itu.

“Daripada cerita-cerita ahli-ahli yang lari, rakaman-rakaman yang mereka tunjukkan memaparkan begitu dahsyat seolah-olah satu gengterisme yang menghalang pengikut pertubuhan itu daripada keluar – dirampas isteri, anak-anak jika mereka lari meninggalkannya, dibuat kepercayaan-kepercayaan tentang keagungan pemimpin mereka bahkan mereka dipaksa untuk memakan air berkat pemimpin-pemimpin mereka yang dahulu dah tak ada yang baru juga mereka masih kena minum air berkat -air janggut, air gigi, air rambut dan air kaki sekali,” dedah Dr Maza dalam video yang dimuat naik oleh akaun Facebook Suara Sunnah, malam tadi.

Menurut ceritanya itu, beliau dimaklumkan, rangkaian-rangkaian kedai makan yang ada di bawah label pertubuhan itu mesti syaratnya memasak perlu dimasukkan air berkat itu.

“Mungkin tuan-tuan juga pernah minum dan merasai kelazatannya. Pengikut kultus itu kena makan dan minum air rendaman janggut, gigi, rambut, tisu dan kain tuala.

“Kadangkala katanya kalau pemimpin itu basuh kaki lagi dalam itu dan air itu disimpan bagi setiap cawangan mereka begitu banyak setiap kali proses memasak dicampurkan air itu bagi setiap hari, yang bercerita ini pengikut-pengikut mereka.

“Sebahagian mereka keluar tapi masih lagi mempunyai anutan, kepercayaan tentang ketakutan kepada pemimpin mereka yang bakal muncul semula dan ini satu perkara yang dahsyat, penghambaan jika boleh dinamakan, penghambaan kanak-kanak, penghambaan manusia supaya mencari wang, harta, duit diberikan kepada satu kelompok manusia yang dikatakan berkat dan manusia ini mempunyai hubungan yang rapat dengan guru mereka yang telah hilang (mati) bagi mereka.

“…dan ini cult (kultus), ini adalah satu pengkudusan yang dahsyat dan ribuan manusia mengikutnya bahkan ada kenyataan-kenyataan bersumpah ynag begitu banyak yang dibuat secara bersumpah,” dedah Mufti Perlis itu lagi.

Beliau juga ada bertanya kepada bekas pengikut kultus berkenaan adakah pernah dibuat laporan kepada pihak berkuasa kalau begini punya kejam kepada anak-anak, isteri, kepada diri mereka sendiri.

“Kahwin ditentukan, untuk bertemu dengan isteri pun mengikut jadual yang ditentukan, anak-anak tak boleh dijaga takut kesetiaan kepada ibu bapa, guru jemaah mereka- sangat dahsyat.

“Mereka kata kalau buat laporan polis pun pihak berkuasa akan menolak laporan itu, mereka menyatakan itu tidak benar, semuanya okey maknanya ada hubungan bagus pertubuhan ini dengan pihak lain.

“Jadi ini dalam satu negara, masyarakat yang dah maju dan ini bukan kajian kita, ini kajian dari negeri lain, mereka bentangkan dan saya mendengar kajian itu hari ini maka saya rasa pihak kerajaan (kalau benar hal ini) kena mangambil serius tak boleh ada dalam negara kita ada bentuk sedemikian gengterisme pukul orang ada rakaman-rakamannya tapi tidak diambil tindakan dan yang menyedihkan mereka itu berbaju ataupun beridentiti agama dan orang memberikan wang kepada mereka atas dasar nak support tahfiz, ekonomi orang Islam dan seumpamanya.

“Ini mesti dilihat secara serius,” gesa Dr Maza.

Tiada ulasan: