"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sekumpulan nelayan Vietnam menyerang anggota APMM, dua cedera

Zaid Salim
am@hmetro.com.my
ANGGOTA penguat kuasa APMM yang cedera dalam serangan sekumpulan nelayan Vietnam dibawa ke HSNZ. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA penguat kuasa APMM yang cedera dalam serangan sekumpulan nelayan Vietnam dibawa ke HSNZ. FOTO ihsan APMM
Kuala Terengganu: Dua penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera manakala seorang lagi jatuh ke laut selepas diserang sekumpulan nelayan asing Vietnam, semalam.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata, kejadian berlaku ketika dua pegawai dan anggota daripada Kapal Maritim (KM) Rawa sedang memeriksa vesel nelayan asing terbabit yang ditahan kerana menceroboh perairan negara ketika melakukan Ops Naga Barat pada kedudukan 125 batu nautika, jam 6.45 pagi.

Beliau berkata, ketika melakukan pemeriksaan ke atas bot terbabit, secara tiba-tiba kesemua nelayan asing yang berada di atas vesel bertindak agresif menyerang anggota yang sedang menggeledah.

"Berikutan itu, berlaku pergelutan apabila pegawai terbabit cuba mempertahankan diri daripada serangan nelayan asing yang menggunakan objek tajam.

"Kedua-dua yang cedera adalah Leftenan Madya Maritim Yusuf Kamal dan Laskar Kanan Maritim Mujibur Rahman Mat Jusoh masing-masing cedera di rusuk kiri, tangan serta kaki akibat dilibas dengan objek tajam.

"Manakala seorang lagi anggota terjatuh ke laut semasa pergelutan berlaku namun berjaya diselamatkan kru KM Rawa," katanya ketika dihubungi.

Khairul Anuar berkata, ketika kejadian, sebuah kapal penguat kuasa negara Vietnam turut berada berhampiran lokasi dan cuba mengganggu tugas APMM bagi menahan kesemua nelayan terbabit.

Menurutnya, bagi mengawal situasi getir itu, KM Rawa mengambil tindakan mengusir vesel nelayan dan kapal penguat kuasa negara berkenaan keluar dari perairan negara sebelum berpatah balik ke Jeti Maritim Negeri Terengganu.

Katanya, KM Rawa tiba di jeti sekitar jam 7.30 malam dan ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dengan ambulans bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Kesemua mereka kini dilaporkan stabil dan berada dalam pemantauan rapi pihak hospital," katanya.

Tiada ulasan: