"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ajaran Millah Abraham ada niat tubuh negara sendiri

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Mohd Fared Mohd Khalid. FOTO NSTP.
Mohd Fared Mohd Khalid. FOTO NSTP.
Batu Pahat: Ajaran Millah Abraham didakwa cuba menubuhkan negara sendiri dengan membina struktur pentadbiran hingga ke tahap berjawatan 'menteri'.

Kegiatan berjaya dikesan hasil pemantauan polis Cawangan Khas termasuk menahan seorang pengikutnya pada Khamis lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, hasil pemantauan itu mendapati ajaran terbabit berisiko mengancam keselamatan serta menggugat keharmonian negara.

Katanya, tindakan segera perlu diambil untuk mengesan pengikut ajaran sesat berkenaan di seluruh negeri.

"Hasil pemantauan dan risikan Jabatan Agama Islam dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka (Millah Abraham) mempunyai struktur mereka sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.

"Jadi kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.

"Kita bimbang menimbulkan sebarang kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham," katanya ditemui selepas Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan ke-15 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di sini, hari ini.

Mohd Fared berkata, kepimpinan ajaran sesat Millah Abraham wujud di seluruh negara dan menjadi buruan pihak berkuasa.

Beliau meminta orang ramai agar tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan Millah Abraham kerana ia menjadi kesalahan di bawah undang-undang sedia ada, selain melaporkan kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

Media sebelum ini melaporkan lelaki lingkungan 50-an disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf 'menteri' dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat.

Pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu yang dihadapkan ke mahkamah rendah syariah, disyaki pengikut ajaran berkenaan.

Tiada ulasan: