"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Operator kilang jatuh mesin proses sawit, mayat tinggal cebisan

Bernama

Polis berkata kejadian disedari rakan mangsa selepas melihat mesin beroperasi tanpa operator.
Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata kejadian itu tiada sebarang unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. (Gambar PDRM)
SHAH ALAM: Seorang operator kilang maut dalam keadaan menyayat hati apabila hanya kasut, cebisan baju dan tulang manusia ditemukan selepas dipercayai terjatuh ke dalam mesin memproses tandan sawit di sebuah kilang memproses sawit di Jenjarom, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata cebisan tulang dipercayai milik lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan pada 5.57 petang setelah pencarian dilakukan rakan sekerjanya berikutan ada mesin yang beroperasi tanpa penjaga.

Ridhwan berkata mengikut pengurus kilang itu yang membuat laporan pada 9.15 malam tadi, mangsa yang baru bekerja selama lapan hari keluar rehat pada 1 petang dan masuk semula bekerja 50 minit kemudian.

Beliau berkata rakan sekerja mangsa yang selesai rehat pada 2.30 petang mendapati lelaki itu tiada di lokasi dan ada mesin yang beroperasi tanpa operator.

Susulan itu, mereka mula mencari mangsa di sekitar kilang dan telah menjumpai kasut, cebisan baju serta tulang manusia di hujung mesin penghantar di atas timbunan serat sawit pada pukul 5.57 petang.

Ridhwan berkata mangsa dipercayai terjatuh ke dalam mesin pemprosesan tandan sawit ketika mengendalikannya dan semua cebisan bahagian tubuh itu dibawa serta diurus oleh Unit Perubatan Forensik Hospital Banting.

Tiada sebarang unsur jenayah dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut, katanya.

Tiada ulasan: