"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sultan Nazrin bertitah agar jangan diberi tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah

Jangan beri tanggungjawab kepada golongan terpalit rasuah, Sultan Nazrin tegur siapa?

Harapandaily

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan mereka yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa.

Lapor Bernama, baginda menyeru masyarakat Islam supaya dengan segala daya dan kekuatan menolak sama sekali golongan yang berimej mungkar, munafik, lemah moral, rendah akhlak serta sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan nama baik umat.

Sultan Nazrin bertitah, kejayaan meningkatkan syiar Islam sangat bergantung kepada kejayaan umatnya dan untuk itu setiap orang Islam bertanggungjawab mewarnakan Islam dengan gemerlapan dan mengisinya dengan kandungan yang meyakinkan.

“Imej Islam dan gambaran masyarakat dunia terhadap Islam dipengaruhi tahap pencapaian dan status kejayaan umat Islam. 

“Islam akan lebih dihormati dan Islam akan terus dimuliakan, jika majoriti penganut Islam memperlihatkan prestasi pencapaian yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

“Oleh itu usaha dan program pembangunan insan sewajarnya diberikan fokus. 

“Jika keagungan Islam mahu dijulang, jika martabat bangsa mahu didarjatkan, usaha untuk memperkaya generasi muda dengan ilmu wajib diberikan tumpuan melalui persepakatan gerakan yang tersusun lagi strategik, diselaraskan, diintegrasikan dan digabungkan,” titah baginda seperti dilapor.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejak kebelakangan ini, pasukan penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar banyaknya kegiatan rasuah yang berlaku dalam kalangan penjawat awam.

Bukan sahaja mereka yang berpangkat tinggi, pegawai yang berpangkat rendah juga banyak terpalit dengan rasuah.

Perdana Menteri ketika mengambil alih negara menegaskan dengan bersungguh-sungguh untuk membanteras rasuah sehingga ke akar umbi.

Tidak kira ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan.

Tiada ulasan: