"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin serah 114 akuan berkanun pada polis

Malaysiakini 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin telah menyerahkan 114 akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15 pada November 2022 kepada polis.

Dia juga menyerahkan surat daripada setiausaha sulit kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang didakwanya mengesahkan bahawa baginda telah menerima pengisytiharan itu pada 21 Nov 2022.

Wartawan kemudiannya diberikan salinan SD Muhyiddin kepada istana bertarikh 21 Nov 2022. Dia juga menyebut bahawa turut disertakan bersama adalah 51 SD daripada PN, PAS (22), Gabungan Parti Sarawak (GPS - 22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS - 6), Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM - 1), serta SD daripada 10 ahli Parlimen BN dan dua ahli Parlimen bebas.

Bagaimanapun, lampiran SD daripada mereka yang didakwa menyokongnya itu tidak diberikan kepada media, dan wartawan juga tidak dimaklumkan mengenai jumlah ahli Parlimen yang menandatangani SD tersebut.

SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan parlimen yang tergantung.

GPS dan GRS pada mulanya menyokong Muhyiddin, tetapi kemudiannya menukar sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim susulan titah Al-Sultan Abdullahyang menasihatkan ahli Parlimen untuk membentuk "kerajaan perpaduan".

Muhyiddin sebelum ini juga menolak tawaran untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama dengan Pakatan Harapan.

SD dan surat-surat berkenaan adalah antara dokumen yang diberikan oleh Muhyiddin kepada polis sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan bahawa dia telah menghina baginda dengan mendakwa dirinya tidak dijemput untuk membentuk kerajaan selepas PRU15 walaupun mendapat sokongan 115 ahli Parlimen - termasuk dirinya sendiri .

Muhyiddin, yang enggan bercakap kepada wartawan selepas memberi keterangan kepada polis, mengulangi dalam satu kenyataan bahawa ucapannya semasa ceramah di Nenggiri adalah fakta dan bukan bertujuan untuk memperlekehkan Al-Sultan Abdullah.

“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 SD akuan berkanun ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas PRU15.

“Tiada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya.

Katanya, perkara itu telah berlaku hampir dua tahun lalu, dan sepanjang tempoh itu, dia tidak pernah menghasut atau mengajak orang ramai untuk menghina atau membenci institusi raja berperlembagaan di negara ini.

"Saya juga tidak pernah menuntut untuk menjadi perdana menteri," katanya sambil menambah bahawa dia telah mengeluarkan ucapan tahniah kepada Anwar yang menjadi perdana menteri pada 24 Nov 2022.

Tiada ulasan: