"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis: Pengundi Nenggiri pilih BN kerana Bersatu-PAS bertelingkah

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Pertelingkahan antara Bersatu dan PAS dilihat menjadi faktor utama mendorong pengundi Nenggiri memilih Barisan Nasional (BN), menurut penganalisis.

Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, pertelingkahan itu juga menyebabkan hubungan akar umbi PAS dan Bersatu retak, menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) memenangi kerusi DUN Nenggiri.

(Kekalahan) di kerusi ini akan memberi kesan negatif terhadap Bersatu dan PAS, kerana di kubu Kelantan, sukar untuk PN membuktikan kerusi yang berjaya mereka rampas boleh dikekalkan pada pilihan raya akan datang, katanya kepada FMT.

PAS Gua Musang sebelum ini berharap calonnya diberi laluan bertanding pada PRK Nenggiri dengan alasan pengundi bimbang episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan.

Penyandang terdahulu kerusi itu, Mohd Azizi Abu Naim, kehilangan kerusi itu setelah digugurkan keahlian oleh Bersatu kerana menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Calon mewakili PN pada PRK Nenggiri, Rizwadi Ismail, 41 ialah bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang yang dilaporkan menyertai Bersatu dua hari sebelum diumumkan sebagai calon bagi mengelak boikot.

Susulan itu, seramai 480 ahli daripada 12 cawangan Bersatu di Gua Musang bertindak keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan yang memilih bekas ahli PAS sebagai calon pada PRK.

Akibat tindakan itu, kesemua cawangan Bersatu itu ditutup sepenuhnya.

Mengulas lanjut, Lau berkata, peralihan di kubu kuat PN turut akan memberi kesan besar terhadap ‘gelombang hijau’ di seluruh negara.

Terdahulu dilaporkan BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh majoriti 3,372 dengan 9,091 undi berbanding 5,739 undi diperoleh Rizwadi.

Dalam pada itu, Azmi Hasan daripada Akademi Nusantara berkata, keputusan PRK kali ini memperlihatkan pengundi mula yakin Umno parti yang kuat kerana berani menggesa DAP supaya tidak turun berkempen.

Ini memberikan persepsi Umno kuat dan boleh pergi solo … kekuatan persepsi ini (jadi) permainan minda yang mendorong ramai penyokong Umno keluar (mengundi) dan beri kemenangan yang agak selesa (kepada BN), katanya.

BN memenangi kerusi Nenggiri dalam empat pilihan raya berturut-turut sejak kawasan DUN itu diwujudkan pada 2004, tetapi tewas kepada PN tahun lepas apabila Azizi menewaskan calon Umno Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), terdapat 20,259 pengundi berdaftar di DUN Nenggiri, termasuk 43 pengundi pos, terdiri daripada 17,636 orang pengundi Melayu; 2,843 pengundi kaum lain-lain, termasuk Orang Asli; 36 orang pengundi Cina; dan lapan orang pengundi India.

Tiada ulasan: