"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Ahli Parlimen akan dipanggil rakam keterangan dalam kes gangguan seksual

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Hafidzul@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Polis menjalankan siasatan terhadap seorang bekas Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara dekat sini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 18 saat berhubung dakwaan itu pada jam 2 petang, hari ini.

"Polis menerima laporan daripada mangsa berusia 20-an pada 6 Ogos lalu yang menyatakan diganggu secara seksual sebanyak dua kali daripada suspek ketika berada di pasar raya berkenaan.

"Berikutan kejadian itu, siasatan terperinci dilakukan mengikut Seksyen 507 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan hasil siasatan, suspek bertugas di sebuah syarikat badan berkanun dan menjawat jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif.

"Kita akan merakam keterangan lelaki itu bagi membantu siasatan. Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan jenayah," katanya.

Tiada ulasan: