"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ucapan Muhyiddin: Speaker arah semua Adun Pahang nyatakan sikap

Malaysiakini 

Tujuh belas Adun PN di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang mungkin berdepan dengan dilema apabila tidak mempunyai pilihan kecuali menyatakan sikap masing-masing terhadap ucapan kontroversi Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dipetik media hari ini, Speaker DUN Pahang Mohd Sharkar Shamsudin berkata semua Adun dikehendaki membuat penyataan sikap berhubung kenyataan Pengerusi PN berkenaan.

“Semua ahli yang berhormat (Adun) di negeri ini perlu menyatakan pendirian tegas berhubung perkara tersebut kerana baginda Sultan Pahang merupakan sebahagian daripada dewan perundangan negeri ini.

“Selain itu, ia juga melibatkan air muka dan maruah rakyat Pahang yang sentiasa menjunjung titah baginda sultan yang menjadi payung negeri ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia di Kuantan, Pahang.

Muhyiddin Yassin kini menjadi perhatian apabila didakwa mempersoalkan keputusan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dalam isu pembentukan kerajaan persekutuan dan pelantikan perdana menteri selepas berakhirnya PRU ke-15 pada 2022.

Dia membuat kenyataan itu semasa berkempen dalam PRK Nenggiri, Kelantan.

Muhyiddin yang sempat menjadi perdana menteri selama 17 bulan ekoran Langkah Sheraton mendakwa, selepas PRU berkenaan PN memiliki jumlah kerusi Dewan Rakyat yang lebih daripada mencukupi untuk membolehkan dia diangkat sebagai perdana menteri.

Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah merupakan Agong ketika itu.

Ada dua pilihan

Baginda bagaimanapun sudah menjelaskan secara terbuka bagaimana proses pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri itu dibuat.

Menurut Al-Sultan Abdullah, baginda memberikan tawaran membentuk kerajaan perpaduan kepada Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang namun kedua-dua mereka menolak "sebulat-bulatnya."

Setakat ini kira-kira 30 laporan polis sudah dibuat ke atas Muhyiddin, termasuk daripada pihak istana Pahang sendiri.

Ketika ini, daripada 42 keseluruhan kerusi DUN Pahang, 17 daripadanya dikuasai PN dengan dua diwakili Bersatu iaitu Kuala Sentul dan Lepas. Baki 15 lagi merupakan kerusi PAS.

PAS sendiri setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi bagi mengulas isu ucapan Muhyiddin.

Umno-BN juga menguasai 17 kerusi lain, diikuti lapan lagi oleh PH.

Menjelaskan arahan dibuatnya itu, Mohd Sharkar berkata, Adun Pahang ada dua pilihan bagi menyatakan sikap mereka terhadap ucapan Muhyiddin.

Petama, katanya, dilakukan secara individu manakala kedua dibuat mewakili parti masing-masing.

Tiada ulasan: