"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita bawa pistol mainan sudah samun dua kedai emas

DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
TANGKAP layar CCTV memaparkan suspek disyaki wanita sama yang melarikan gelang emas dalam dua kejadian di Pulau Sebang dan Jalan Pasar, Alor Gajah, Melaka.
ALOR GAJAH – Dua individu termasuk seorang wanita yang diburu polis selepas dipercayai melarikan gelang tangan emas dengan membawa pistol mainan di sebuah premis di Alor Gajah semalam disyaki melakukan kes sama di kedai emas lain, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil semakan, pihaknya mengesyaki ia adalah individu sama yang dilaporkan telah melarikan barang kemas bernilai RM15,000 di Pulau Sebang.

“Modus operandi digunakan juga adalah sama iaitu suspek wanita berpura-pura menjadi pelanggan dan ingin melihat barang kemas sebelum bertindak melarikan barangan berharga itu.

“Kita anggarkan umur suspek wanita adalah antara 30-an sehingga 40-an,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, satu rakaman pesanan suara seorang lelaki turut tular melalui aplikasi WhatsApp yang meminta orang ramai membantu mengesan kedua-dua suspek berkenaan bersama maklumat kenderaan dinaiki mereka iaitu sebuah Toyota Yaris.

Beberapa keping gambar tangkap layar suspek daripada rakaman televisyen litar tertutup juga disebarkan memaparkan wanita berkenaan berpura-pura mengambil gambar seutas gelang emas menggunakan telefon bimbitnya.

Semalam Kosmo! melaporkan polis memburu dua suspek termasuk seorang wanita yang disyaki melarikan dua utas gelang emas bernilai RM10,000 dari sebuah kedai emas di Jalan Pasar.

Ashari berkata, suspek telah masuk ke dalam kedai berkenaan dan berpura-pura ingin melihat gelang tangan emas sebelum tiba-tiba melarikan barangan perhiasan itu menaiki sebuah Toyota Yaris dipandu seorang lelaki.

Tambahnya, ketika suspek bangun dari kerusi, pengadu turut mendakwa telah terlihat sepucuk pistol disyaki pistol mainan di dalam bag tangan wanita terbabit.

Suspek melarikan gelang tangan bentuk kait satu stamping berat lebih kurang 15.83 gram dan gelang tangan bentuk dunhill vencon stamping anggaran berat 13.43g.

Tiada ulasan: