"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu tunggal dakwa trauma dihendap 'Datuk Seri' tawar RM1 juta untuk hamil zuriat

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my
Michael Chong (kiri) bersama Chan (tengah) dan Marcus Chong. - NSTP/NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
Michael Chong (kiri) bersama Chan (tengah) dan Marcus Chong. - NSTP/NURUL HIDAYAH BAHAUDIN
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal mendakwa hidup dalam trauma akibat dihendap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' yang dikatakan telah menghantar ribuan e-mel kepadanya, malah menawarkan wang RM1 juta jika mahu mengandungkan anak lelaki itu.

Wanita hanya mahu dikenali sebagai Chan, 46, berkata beliau mengenali lelaki berusia 50-an itu ketika bekerja sebagai ejen hartanah pada 2017.

"Pada mulanya, saya selesa berkawan dengan lelaki itu sebelum dia mula menunjukkan sikap agresif yang menyebabkan saya menjauhkan diri darinya.

"Namun, tindakan itu menyebabkan dia semakin kerap menghubungi saya, malah menghantar e-mel setiap hari, selain makanan serta bunga ke rumah," dakwanya pada sidang media di Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong, dan Penasihat Undang-Undang jabatan itu, Marcus Chong.

Chan mendakwa bahawa lelaki itu turut menceroboh privasi beliau apabila dikata memaklumkan bahawa dia mengetahui maklumat peribadi wanita itu, termasuk nombor akaun bank dan pergerakannya setiap hari.

"Lelaki itu juga memasukkan wang ke beberapa akaun bank saya menyebabkan saya terpaksa menutup akaun bank berkenaan.

"Bagi saya, tindakan lelaki yang sudah berkahwin itu adalah abnormal kerana ada masanya dia meluahkan kata-kata cinta tetapi kadang kala mengugut serta memfitnah saya.

"Selain itu, dia juga pernah menghantar gambar tidak senonoh kepada saya serta menawarkan wang sebanyak RM1 juta jika saya mahu mengandungkan anaknya," dakwa Chan lagi.

Wanita itu mendakwa hingga kini, sudah lebih 2,000 e-mel diterimanya daripada lelaki itu sepanjang tempoh tujuh tahun perkenalan mereka.

"Saya buntu dengan situasi ini kerana ia jelas mengganggu kehidupan saya sebagai ibu tunggal bersama anak-anak yang turut hidup dalam ketakutan.

"Saya merayu lelaki itu supaya tidak lagi mengganggu kehidupan saya, ahli keluarga serta individu di sekeliling kami," katanya sambil memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu terbabit dan sedang mendapatkan nasihat berkaitan daripada peguam.

Sementara itu, Michael Chong berkata, pihaknya sudah dua kali menerima aduan daripada Chan berhubung gangguan didakwa dilakukan lelaki terbabit.

"Kali pertama kami menerima aduan daripada Chan berhubung perkara itu ialah pada 2021. Ketika itu, saya juga sudah memanggil lelaki terbabit bagi membincangkan isu berkenaan.

"Ketika datang ke pejabat saya (pada 2021), lelaki itu membawa bunga untuk diberikan kepada Chan tetapi beliau menolak pemberian berkenaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyangka isu berkenaan akan selesai berikutan perjumpaan itu, namun Chan mendakwa masih diganggu individu sama hingga kini.

Tiada ulasan: