"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis terima laporan kes liwat, dera pelajar tahfiz di Merbok

Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my

Sungai Petani: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pelajar sebuah maahad tahfiz di Merbok dekat sini, mendakwa didera dan diliwat ketika berada di pusat pengajian itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata pihaknya menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes yang dipercayai berlaku pada Jun lalu.

"Seramai empat individu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat atau persetubuhan luar tabii.

"Seorang lagi ditahan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 2001. Mereka semua dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan kes berkenaan masih dilakukan pihaknya dan pengurusan pusat pengajian turut dipanggil bagi memberi keterangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Datuk Mohd Azam Abd Samat berkata, pihaknya turut dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kes terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut.

"Pihak saya dimaklumkan Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) bahawa mereka sudah pergi melakukan siasatan di maahad tahfiz berkenaan mengikut bidang kuasa jabatan.

"JHEAIK dimaklumkan ibu bapa sudah membuat laporan polis, jadi pihak jabatan tak boleh campur tangan kerana ia dalam siasatan polis," katanya ketika dihubungi.

Semalam tular video di TikTok pemilik akaun Pembela Agama yang mendakwa berlaku kes penderaan fizikal dan seksual ke atas pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Video terbabit turut mendakwa terdapat pelajar yang kurus kering kerana tidak diberi makan dengan cukup selepas belajar di pusat tahfiz itu.

Pelajar juga didakwa dipaksa bekerja sehingga jam 3 pagi selain perlu mengangkat barang berat dan menguruskan kuda, apabila mereka terjaga lewat pada waktu pagi kerana penat mereka akan dirotan.

Pelajar turut dibuli dan didera fizikalnmental selain dilarang untuk mengadu kepada ibu bapa sehingga ada yang perlu menjalani rawatan psikiatri.

Dalam paparan video itu juga mereka mendakwa laporan terhadap JHEAIK sudah dilakukan namun tiada sebarang tindakan diambil.

Gambar pelajar yang mengalami kecederaan di kaki dan sedang dirawat di hospital turut dikongsi dalam video berkenaan selain terdapat gambar kesan kegatalan pada kulit tangan dan kaki serta pelajar yang semakin kurus.

Tiada ulasan: