"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS tanggung kekalahan terbesar dalam PRK Nenggiri

Shahrin Aizat Noorshahrizam & Sheha Mohd Amin

Kekalahan PN dalam PRK Nenggiri antaranya disebabkan penyokongnya, menurut penganalisis politik.

Mereka berpandangan penyokong Bersatu bukan saja enggan keluar mengundi, malah ada yang mengundi Umno.

Penganalisis politik Azmi Hassan bagaimanapun berkata, kekalahan sebenar ditanggung oleh PAS ekoran isu calon yang menyebabkan boikot di kalangan penyokong Bersatu.

“Cara calon dipilih menunjukkan betapa kuatnya PAS sehingga mereka boleh membuat keputusan di pihak Bersatu.

“Ini membawa kepada khabar angin sesetengah penyokong Bersatu bukan saja boikot, malah sabotaj dengan mengundi Umno.

“Jadi secara keseluruhan, PAS kalah paling besar dan disusuli PN kerana selepas ini, mungkin ada lebih banyak konflik antara Bersatu dan PAS,” katanya kepada Malaysiakini.

PN meletakkan Mohd Izwadi Ismail daripada Bersatu bagi PRK itu, namun dia didapati “diimport” daripada PAS memandangkan dia sebelum itu adalah anggota parti itu.

Senada dengan Azmi adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Syaza Shukri yang berkata dia terkejut dengan keputusan PRK Nenggiri dan yakin pengundi BN “sudah kembali”.

Syaza berkata walaupun Kelantan adalah kubu kuat PAS, Nenggiri adalah kerusi tradisi BN sehinggalah ia dirampas Bersatu dalam PRN tahun lalu.

“Jadi saya tak fikir kita boleh buat generalisasi dengan mengatakan orang Kelantan menolak PAS. Nenggiri adalah kerusi spesifik dengan sejarah dan bentuk yang tersendiri,” katanya.

Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani daripada BN menewaskan Rizwadi dengan majoriti 3,352 undi.

Ini merupakan kekalahan PRK terbesar PN selepas PRU15.

Ini juga PRK pertama selepas PRU15 di mana parti penyandang tewas.

Kemenangan Ku Li, bukan Madani

Syaza juga memuji strategi yang digunakan BN dan berkata kemenangan gabungan itu disebabkan pengarah strategi PRK Nenggiri, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Apa yang saya lihat, ini bukan kemenangan kerajaan Madani. Pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkenaan kenaikan gaji penjawat awam tidak memainkan apa-apa peranan dalam PRK ini. Ini adalah masterclass Ku Li,” katanya lagi.

Penganalisis politik dari Sunway University Wong Chin Huat berkata strategi Ku Li untuk tidak melibatkan DAP dalam kempen adalah keputusan yang betul dan natural.

Berhubung jika Umno boleh memanfaatkan DAP dalam usaha mendapatkan undi Orang Asli, Wong berkata Umno sendiri boleh mendapat sokongan mereka, terutama dengan penglibatan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor.

“Jadi, walaupun jika DAP berkempen di kawasan Orang Asli dan PN menggunakannya (untuk menyerang ketika kempen), ia sukar untuk membangkitkan (sentimen) fobia DAP.

“Pertimbangan nyata barangkali berkenaan sama ada Umno mampu mendapatkan undi Orang Asli dan ia tidak mahu berkongsi kredit dengan DAP (atas kejayaan itu),” katanya.

PAS tak kebal

Perkembangan politik mutakhir di Kelantan menyebabkan penganalisis mempersoalkan tanggapan kekebalan PAS di negeri itu.

Azmi berkata sukar untuk membuat sebarang andaian jika perbezaan undi kurang daripada 1,000, namun majoriti kemenangan BN di Nenggiri menunjukkan PAS bukanlah langsung tak dapat digugat.

“Jika PAS boleh ditewaskan di Kelantan, pastinya ia mampu dicabar di negeri lain. Saya melihat kekebalan PAS lebih kepada mitos pada masa ini kerana di Kelantan mereka bukan saja kalah, tapi kalah dengan teruk,” katanya lagi.

Syaza juga senada dengan pandangan itu dan berpandangan tahap sokongan PN mungkin sudah mencapai takat tertingginya.

“Kita melihat tahap sokongan terhadap PN mungkin sudah mencapai takat tepu. Bagi PN, usaha untuk mengekalkan tahap sokongan ini akan menjadi sangat mencabar, terutama bagi menarik pengundi Nenggiri seperti yang dapat dilihat di Nenggiri,” kata Syaza.

Pandangan para penganalisis membayangkan kemungkinan perubahan dalam dinamik politik di Kelantan - negeri yang sekian lama dianggap kubu kuat PAS.

Tiada ulasan: