Siti Aminah Mohd Yusof
am@hmetro.com.my
Dua mangsa warga China dipercayai bapa dan anak perempuan maut dihempap pokok dan runtuhan bangunan di Perarakan Mansion, Lebuh Gereja. FOTO MIKAIL ONG
Georgetown: Dua pelancong warga China disahkan meninggal dunia selepas kereta yang diletakkan di pekarangan Rumah Agam Pinang Peranakan dihempap pokok tumbang dan bongkah runtuhan bangunan dalam kejadian di Lebuh Gereja di sini, hari ini.
Mangsa seorang lelaki dan wanita dipercayai mempunyai pertalian bapa dan anak masing-masing berusia 50-an dan 30-an hanya dapat dikeluarkan pada jam 5.15 petang iaitu selepas kira-kira tiga jam insiden itu dilaporkan berlaku.
Ketua Operasi yang juga Pegawai Zon Daerah Timur Laut Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Muhammad Syafiq Noor Azman, berkata pihaknya berdepan cabaran dan detik sukar mengeluarkan mangsa berikutan tempat kejadian yang sempit dan mempunyai ruang terhad untuk membawa masuk jentera serta kren.
"Kita juga berdepan cabaran cuaca tidak menentu dan kita tidak menolak kemungkinan ribut atau angin kencang yang melanda Pulau Pinang sejak kebelakangan ini menjadi punca pokok itu tumbang namun siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Maklumat awal yang diterima ialah mangsa baru sahaja masuk ke dalam kereta itu selepas keluar dari premis terbabit dan pemerhatian mendapati pokok sebesar kira-kira tiga pemeluk itu melekat pada bangunan setinggi dua tingkat tersebut.
"Jadi apabila pokok itu tumbang, ia membawa bersama runtuhan bongkah konkrit dan menghempap tiga kereta yang diparkir di lokasi kejadian manakala dua lagi kenderaan tiada mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, mayat wanita malang itu ditemukan berada dalam keadaan tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah hadapan manakala mangsa lelaki duduk di kerusi belakang.
"Susulan itu, kita dengan kerjasama pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan kerja-kerja pemotongan pokok itu sebelum menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan pokok dan sisa runtuhan itu sepenuhnya.
"Operasi ini membabitkan seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dan Jalan Perak dengan bantuan keseluruhan dari 40 petugas termasuk dari Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya.
Difahamkan pemandu kereta yang dinaiki dua beranak itu tidak dapat dikesan dan belum diketahui sama ada dia warga tempatan atau pelancong China selepas dia dikatakan berjaya keluar dari kenderaan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan