Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
Lokasi kejadian mangsa ditetak oleh suspek menggunakan senjata tajam hingga maut. - Foto ihsan PDRM
KENINGAU: Niat baik seorang lelaki membantu jiran membuat laporan polis berakhir tragedi apabila ditetak dalam kejadian di Jalan Lingkudau di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 58 tahun maut akibat cedera parah di tangan selepas ditetak suami jiran yang dibantunya kira-kira jam 9.30 malam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Alizam Dalaman, berkata terdahulu berlaku pertengkaran antara suspek iaitu lelaki berusia 40 tahun dan isterinya.
Katanya, isteri suspek dikatakan lari ke rumah mangsa yang juga jirannya sebelum dibawa membuat laporan di Balai Polis Keningau.
"Mangsa dan isterinya membantu isteri suspek membuat laporan polis di Balai Polis Keningau.
"Namun setibanya di balai, mangsa dihubungi anaknya yang berusia 25 tahun dan memaklumkan suspek dalam keadaan marah di hadapan rumah mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Alizam berkata, mangsa kemudiannya bersama seorang lagi anak lelakinya yang berusia tujuh tahun pulang ke rumah menaiki kenderaan untuk melihat keadaan sebenar.
Katanya, isteri suspek turut pulang ke rumah dengan berjalan kaki bagi meredakan kemarahan suspek.
"Ketika dalam perjalanan balik ke rumah, mangsa berjumpa dengan suspek dan berlakunya pertengkaran antara mereka.
"Suspek dilaporkan terus menetak tangan mangsa di hadapan anak mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang menyebabkan berlaku pendarahan teruk," katanya.
Alizam berkata, isteri suspek yang tiba bersama anggota peronda unit kereta peronda (MPV) kemudiannya menemui mangsa yang parah.
Katanya, anggota MPV juga segera memaklumkan kepada pihak hospital untuk memberi bantuan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Suspek bertindak melarikan diri dan usaha memburunya sedang giat dilakukan pihak polis.
"Punca pergaduhan antara suspek dan mangsa adalah disebabkan rasa tidak puas hati atau cemburu suspek terhadap mangsa yang menolong isterinya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan