Mohd Iskandar Ibrahim
am@hmetro.com.my
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menunjukkan barang kes yang dirampas ketika sidang media khas di Ibu Pejabat SPRM. FOTO Aswadi Alias
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan penemuan wang tunai hampir RM800,000 di kediaman dua pegawai imigresen bergred rendah dalam serbuan membabitkan sindiket 'counter setting'.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, dalam beberapa serbuan itu, pihaknya menemui wang tunai berjumlah RM518,250 dalam bagasi di bilik tidur pegawai wanita imigresen Gred KP22 di kediamannya di Pahang.
Katanya, wang tunai sebanyak RM248,443 pula ditemui di bawah katil bilik utama pegawai imigresen lelaki Gred KP19 di di kediamannya di Melaka.
"Jumlah wang tunai itu adalah sebahagian daripada RM1.49 juta wang tunai yang disita terhadap penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket 'counter setting'.
"Sepanjang operasi ini, SPRM turut menyita wang tunai sebanyak AS$9,900 (RM41,990) serta 5,470 Bath (RM696)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Azam berkata, sebanyak 27 keping dinar emas seberat 575.75 gram dengan anggaran nilai melebihi RM200,000 turut disita daripada pegawai imigresen Gred KP22 di Negeri Sembilan.
Katanya, sepanjang operasi terbabit, pihaknya menyita 22 unit kenderaan membabitkan sembilan kereta dan 13 motosikal.
"Turut disita ialah lebih 75 barangan kemas seperti cincin, gelang, rantai, loket dan subang selain 12 jam tangan pelbagai jenama," katanya.
Beliau berkata, SPRM turut membekukan sebanyak 215 akaun bank milik 16 syarikat dan 84 individu dengan nilai pembekuan melebihi RM3.6 juta.
Dalam pada itu, Azam mendedahkan modus operandi 'counter setting' adalah sindiket mempromosikan pakej untuk masuk ke Malaysia menerusi platform media sosial seperti Facebook, Telegram dan aplikasi media sosial lain.
Katanya, ejen akan menghubungi pegawai imigresen menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan tarikh yang sesuai membolehkan kumpulan warga asing datang ke Malaysia sebagai pelancong.
Pegawai Imigresen kemudiannya akan memberi 'green light' (lampu hijau) jika tarikh berkenaan sesuai.
"Ejen atau sindiket akan memberikan butiran pasport dan gambar kumpulan warga asing yang akan tiba menerusi WhatsApp kepada pegawai imigresen terbabit.
"Pegawai itu akan memberikan maklumat nombor 'kaunter khas' yang perlu dituju oleh kumpulan warga asing untuk pelepasan masuk ke Malaysia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan