FMT Reporters
Harga jualan seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000, manakala kura-kura Indian Eyed RM1,350 seekor.
Anak buaya julung-julung dan kura-kura Indian Eyed yang dirampas semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan haiwan liar dengan penahanan seorang warga asing bersama 30 ekor anak buaya julung-julung dan 14 ekor kura-kura Indian Eyed dianggarkan lebih RM1.8 juta semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Mohd Yusoff Mamat, berkata tangkapan dilakukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK).
Berdasarkan maklumat dan risikan, suspek membawa spesis hidupan liar terkawal itu dari sebuah negara di Asia Selatan menggunakan laluan udara ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kes sedemikian jarang berlaku di Malaysia dan spesis haiwan cuba diseludup itu mempunyai nilai sangat tinggi di pasaran gelap.
“Harga jualan seekor anak buaya julung-julung adalah RM60,000, manakala kura-kura Indian Eyed RM1,350 seekor.
Hidupan liar tersebut dipercayai dibawa masuk ke dalam negara untuk tujuan transit dan akan dipindahkan ke negara lain, katanya sambil menambah lelaki itu disyaki ada kaitan sindiket penyeludupan haiwan liar bergiat aktif di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, 135 serbuan dijalankan di seluruh negara dengan 384 tangkapan membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, barangan kawalan dan bersubsidi serta hidupan liar sejak 1 Jan hingga semalam yang nilai rampasan keseluruhan melebihi RM420 juta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan