"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Alat kelui Hezbollah yang meletup dibuat di Hungary

Berita harian Sg
Firma BAC Consulting KFT terletak di bangunan pejabat di Budapest, Hungary. Firma itu adalah pengeluar alat kelui yang meletup di Lebanon dan Syria, dalam kejadian pada 17 September. Ia menggunakan jenama syarikat Taiwan, Gold Apollo. - Foto REUTERS
TAIPEI: Alat kelui yang digunakan oleh Hezbollah yang meletup dalam serangan Israel dilaporkan dibuat oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Hungary, kata sebuah firma lain pada 18 September.

Alat kelui AR-924 yang meletup itu dikeluarkan BAC Consulting KFT, yang berpangkalan di ibu kota Hungary, Budapest.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Gold Apollo, firma Taiwan yang membenarkan penggunaan jenamanya pada alat kelui berkenaan.

Gold Apollo mewujudkan “perkongsian jangka panjang” dengan BAC Consulting KFT yang berpangkalan di Budapest untuk menggunakan tanda dagangan dan model AR-924, kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Antara isi kandungan perjanjian kedua-dua syarikat itu, BAC Consulting KFT diberi kelulusan menggunakan jenama syarikat dari Taiwan di rantau tertentu.

Namun reka bentuk dan pembuatannya adalah tanggungjawab penuh syarikat BAC Consulting KFT.

New York Times melaporkan bahawa alat kelui keluaran syarikat berkenaan terbabit dalam letupan itu.

Alat kelui yang digunakan kumpulan itu meletup hampir serentak di Lebanon dan Syria pada 17 September, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan sekitar 2,800 orang.

Pengerusi Gold Apollo, Encik Hsu Ching-kuang, berkata firmanya mempunyai perjanjian pelesenan dengan BAC sejak tiga tahun lalu.

“Kami memberi kuasa kepada BAC untuk menggunakan tanda dagangan jenama kami untuk jualan produk di kawasan yang ditetapkan, tetapi reka bentuk dan pembuatan produk adalah tanggungjawab BAC,” kata Gold Apollo dalam satu kenyataan.

Bahan letupan, sekecil 1oz (28g) hingga 2oz, diletak di sebelah bateri dalam setiap alat kelui, kata sumber tersebut yang dipetik oleh New York Times.

Suis turut dibenamkan dan ia boleh menyebabkan alat itu diletupkan dari jarak jauh.

Difahamkan lebih 3,000 alat kelui telah ditempah dari Gold Apollo di Taiwan.

Serangan itu meningkatkan konflik sedia membara antara Israel dengan Hezbollah yang berisiko meningkat menjadi perang besar-besaran.

Hezbollah dan pemerintah Lebanon menyalahkan Israel atas letupan tersebut.

Seorang pegawai Amerika Syarikat yang enggan namanya disebut, berkata Israel telah memberi taklimat selepas serangan itu dengan menyatakan bahan letupan yang tersembunyi dalam alat kelui telah diletupkan.

Sumber diplomatik dan keselamatan mengesyaki letupan tersebut berpunca daripada alat bateri yang meletup, mungkin disebabkan suhu yang tinggi.

Pakar memberitahu agensi berita Reuters, mereka tidak yakin letupan tersebut berpunca hanya daripada bateri.

Pakar keselamatan bateri litium-ion di Universiti Newcastle, Encik Paul Christensen berkata, tahap kerosakan disebabkan oleh letupan alat kelui itu kelihatan tidak konsisten jika dibandingkan dengan kes-kes kegagalan bateri yang diketahui pada masa lalu.

Sebuah pertubuhan hak digital Lebanon, Smex, memberitahu Reuters bahawa Israel mungkin mengeksploitasi kelemahan dalam alat tersebut untuk menyebabkan letupan.

Ia menambah bahawa alat kelui itu mungkin dipintas sebelum ia dihantar ke Hezbollah, apabilan komponen elektrik peranti tersebut mungkin diubah atau bahan letupan dipasang pada alat tersebut.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata pada 18 September bahawa pihaknya masih menilai bagaimana serangan itu boleh menjejaskan usaha untuk merundingkan gencatan senjata Gaza.

Hezbollah dan tentera Israel telah berbalas tembakan hampir setiap hari sejak 8 Oktober, sehari selepas serangan maut Hamas di selatan Israel mencetuskan perang.

Sejak itu, ratusan telah terbunuh dalam serangan Israel ke atas Lebanon dan berpuluh-puluh di Israel.

Pasukan keselamatan Taiwan “memberi perhatian besar” terhadap letupan beribu-ribu alat kelui yang menyasarkan Hezbollah, kata menteri pertahanannya, Encik Wellington Koo, selepas firma Taiwan dikaitkan dengan pengeluaran alat kelui berkenaan.

Beliau berkata pemerintahnya sedang memerhati perkembangan dengan teliti. – Agensi berita.

Tiada ulasan: