"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pindaan PAS terima bukan Islam ahli bersekutu ‘separuh masak’

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Pindaan perlembagaan PAS yang membolehkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu disifatkan tidak praktikal kerana mengehadkan peranannya, kata penganalisis.

Menyifatkannya ‘separuh masak’ dan tidak ikhlas, Sayuti Omar berkata Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) seolah-olah menjadi ‘alat’ untuk PAS menangkap sokongan kaum lain.

Pindaan itu tidak praktikal dalam konteks PAS nak menarik perhatian bukan Islam, sepatutnya sama rata (kuasa mengundi) kalau ikhlas, katanya kepada FMT.

Beliau mengulas keputusan Muktamar PAS ke-70, minggu lalu membenarkan orang bukan Islam menjadi ahli bersekutu menerusi pemerkasaan DHPP.

Menerusi pindaan itu, mereka diberi hak mengundi dan dipilih namun terhad kepada sayap DHPP yang pemimpinnya bukan lagi dilantik, sebaliknya menerusi pemilihan.

Selain itu, pemimpin atau ahli DHPP tidak boleh memegang jawatan dalam ahli jawatankuasa PAS pusat.

(Bila perlembagaan dipinda tetapi terlalu banyak syarat), ibarat PAS gula-gulakan DHPP supaya terus sokong parti itu, PAS cuma nak peralatkan (DHPP) untuk memerangkap sokongan kaum India dan Cina, kata Sayuti.

Menurutnya, pindaan itu juga sebenarnya pengakuan PAS yang Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), yang bersama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) gagal memainkan peranannya.

“PAS mengetahui keupayaan parti bukan Islam (dalam PN) tak boleh memberi satu nilai tambah kepada PAS, jadi pinda perlembagaan memberi kuasa tertentu yang tidaklah sejujur diharapkan.

Dan DHPP itu sendiri tak mampu nak tarik sokongan bukan Melayu maka PAS terpaksa rombak balik peranannya (DHPP) supaya lebih meluas dan kononnya memberi kuasa kepada ahlinya, kata Sayuti.

PAS bukan lagi hak eksklusif orang Islam

Sayuti tidak menolak tindakan PAS meminda perlembagaan parti dengan membuka kepada semua kaum sebagai usaha ‘mengejar’ selera pengundi masa kini yang lebih memilih parti berbilang bangsa.

Orang boleh anggap PAS kini sebagai politik liberal atau parti berbilang bangsa dan tidak lagi eksklusif untuk Islam kerana sekarang terpaksa mengejar politik lebih praktikal seperti Pakatan Harapan yang mengikut citarasa rakyat berbilang kaum, katanya.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berpandangan PAS sedar tanpa undi berbilang bangsa, cita-citanya untuk menawan Putrajaya ibarat mimpi di siang hari.

Seperti Sayuti, Azmi juga sangsi keikhlasan PAS dalam membuka pintu kepada kaum lain yang disifatkan ibarat ‘melepaskan batuk di tangga’.

“PAS tahu mereka perlu menarik undi bukan Melayu jika mahu keluar dari kepompong SG4 (negeri ditadbir PAS) untuk mendapatkan kerajaan persekutuan.

Tetapi takkanlah dengan membuka keahlian dan mengehadkan peranan (DHPP) boleh menarik pengundi atau ahli bukan Melayu… itu bukan caranya, katanya.

Beliau juga samar sambutan pindaan berkenaan dan berpendapat PAS perlu berubah wajah dari sebuah parti retorik dan ekstrem kepada organisasi mampu memberi kesan positif kepada negara.

Mereka perlu buktikan (jika PAS) sebagai tonggak kerajaan persekutuan, negara dan rakyat akan merasa nikmat… kena buktikan itu dulu kerana dalam roadshow SG4 baru-baru ini pun mereka tak dapat buktikan, katanya.

Tiada ulasan: