"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis China siasat kes gigi manusia ditemukan dalam kuih bulan

Agensi
GIGI ditemukan di dalam kuih bulan. FOTO HIASAN
GIGI ditemukan di dalam kuih bulan. FOTO HIASAN
Beijing: Sebuah pasar raya milik Amerika Syarikat di China, disiasat pihak berkuasa selepas pelanggan menemukan gigi manusia dalam kuih bulan.

Seorang wanita berkongsi video Douyin yang menunjukkan gigi dalam kuih bulan berisi daging bernilai 30 yuan (kira-kira RM18).

Kuih itu dibeli di Sam's Club, Changzhou di wilayah Jiangsu, timur China, lapor Star Video pada 5 September lalu.

Wanita itu berkata, dia melaporkan penemuan itu kepada polis selepas yakin gigi itu bukan milik mana-mana ahli keluarganya.

Seorang kakitangan di Sam's Club di Changzhou berkata, syarikat itu sedang menyiasat kes berkenaan.

Sementara itu, jurucakap pengilang kuih bulan, Liu memberitahu Hongxing News, mustahil untuk mencampurkan gigi dalam isi daging.

"Semua daging akan melalui proses pencincangan dan diperiksa mesin sinar-X yang mampu mengesan serpihan tulang.

"Insiden macam ini tidak pernah berlaku sejak lebih sedekad," katanya.

Jabatan kerajaan berkaitan berkata, pihaknya juga sedang menyiasat kes itu.

Insiden membabitkan isu keselamatan makanan di Sam's Club bukan kali pertama. Pada 2022, seorang wanita dari wilayah Fujian, tenggara China melaporkan bapa saudaranya menemukan tiga gigi manusia tiruan dalam Swiss Roll yang dibeli daripada rangkaian kedai itu, mengakibatkan dia patah gigi apabila menggigitnya.

Walaupun kedai itu memberi jaminan mereka akan menyiasat, namun tiada keputusan dikongsikan.

Pada 2022, Sam's Club di Nanjing berdepan denda 30,000 yuan (kira-kira RM18,185) kerana menjual strawberi berkulat dan lokasinya di Beijing Shunyi didenda 65,000 yuan (kira-kira RM39,400) kerana menjual susu tepung tamat tempoh.

Sam's Club, yang memasuki China pada tahun 1996, didenda lebih 20 kali kerana pengiklanan palsu dan isu keselamatan makanan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Jenama ini mempunyai 49 cawangan di seluruh China.

Tiada ulasan: