"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Lelaki menyamar polis peras ugut penyeludup ditahan

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kereta yang digunakan suspek berusia 31 tahun dengan menggunakan modus operandi menyamar anggota polis dan memeras ugut penyeludup. - Foto NSTP/ Ihsan PGA
Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas kereta yang digunakan suspek berusia 31 tahun dengan menggunakan modus operandi menyamar anggota polis dan memeras ugut penyeludup. - Foto NSTP/ Ihsan PGA
KOTA BHARU: Seorang pemuda dikesan menggunakan taktik licik dengan menyamar sebagai anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan akan memeras ugut kumpulan penyeludup minyak bersubsidi di sekitar Pengkalan Kubor, Tumpat.

Suspek berusia 31 tahun itu dikatakan akan menahan penyeludup terbabit dan meminta imbuhan daripada penyeludup sekiranya mereka tidak mahu ditangkap.

Bagaimanapun, perbuatan pemuda terbabit terbongkar apabila ditahan Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) jam 11 pagi kelmarin di sebuah rumah di Taman Sri Neting, Tumpat.

Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat awam.

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang disyaki bergerak sendirian menyamar sebagai anggota PGA berada dalam rumah berkenaan sebelum ditahan.

"Kita turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha di rumah terbabit dan sebuah kereta di rumah berlainan yang disyaki turut digunakan suspek.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM15,000. Saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Methampetamine," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.

"Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyamaran dari terus berleluasa di sempadan negara," katanya.

Tiada ulasan: