"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mufti: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin tidak sah, khatib terlupa duduk antara dua khutbah

Zuhainy Zulkiffli
am@h.metro.com.my

Georgetown: Solat Jumaat di Surau al-Muttaqin, Sungai Ara, Bayan Lepas di sini, pada 13 September lalu tidak sah kerana tidak memenuhi syarat khutbah, menurut Mufti Pulau Pinang Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Beliau berkata, syarat yang tidak dipenuhi itu apabila khatib terlupa duduk antara dua khutbah.

Susulan itu, beliau berkata, jemaah yang bersolat Jumaat di surau terbabit diwajibkan menunaikan solat Zohor secara qada bagi menggantikan solat Jumaat yang tidak sah berkenaan.

"Menurut mazhab Syafie dan ulama Syafiiyyah, duduk di antara dua khutbah sebahagian daripada syarat khutbah Jumaat.

"Berikutan itu, jika khatib tidak duduk di antara dua khutbah sama ada sengaja atau terlupa, maka khutbahnya tidak sah dan solat Jumaat itu juga tidak sah.

"Kalau jemaah tidak sedar tentang perkara itu, dimaafkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, tular kenyataan didakwa daripada Pengerusi Jawatankuasa surau berkenaan yang meminta maklumat mengenainya dipanjangkan kepada orang ramai.

Kenyataan itu mendakwa perkara berkenaan sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Daerah Barat Daya dan Pejabat Mufti Pulau Pinang.

Katanya, Mohd Sukki yang membalas pertanyaan itu turut memutuskan bahawa jemaah yang terbabit harus laksanakan solat Zohor qada itu secara berjemaah.

"Tolong panjangkan makluman ini kepada keluarga, sahabat dan kenalan sudah bersolat Jumaat di Surau al-Muttaqin pada 13 September lalu.

"Bagi pihak tuan imam, pegawai dan AJK (Ahli Jawatankuasa) Surau al-Muttaqin, saya memohon maaf atas kesilapan ini," menurut kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: