Mohamad Fadli
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mencabar pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadapnya pada sidang Dewan Rakyat bulan depan.
Beliau berkata pembangkang perlu mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya menggesanya untuk ‘turun’ daripada jawatannya.
“Ada 30 orang (pembangkang) suruh Anwar turun. Ingat negara dia, tak ikut hukum.
Kalau nak suruh turun, bawa usul undi tidak percaya pada sidang Dewan Rakyat Okt ini, katanya semasa berucap dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Ini bukanlah kali pertama Anwar mencabar Perikatan Nasional untuk membentangkan usul berkenaan di Dewan Rakyat.
Anwar membuat cabaran serupa pada 11 Jan tahun ini dan 6 Mei tahun lalu, dan menambah beliau akan memendekan tempoh notis.
Gesaan untuk menguji keabsahan Anwar itu susulan dakwaan presiden PKR terbabit tiada majoriti mudah 112 sokongan Ahli Parlimen, merujuk kepada gerakan Langkah Dubai.
Beberapa media melaporkan kewujudan perbincangan yang didakwa berlangsung di Emiriah Arab Bersatu antara pemimpin pembangkang dan wakil rakyat kerajaan tertentu bertujuan menjatuhkan pentadbiran Anwar.
Anwar sebelum ini dilaporkan berkata pembangkang tiada kekuatan untuk meneruskan usaha menjatuhkan kerajaan pimpinannya termasuk mengemukakan usul di Dewan Rakyat, sebaliknya terus memainkan propaganda mengaburi penyokongnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan