FMT Reporters
Majistret dalam penghakimannya berkata, tindakan tertuduh tidak wajar dan boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat.
Yuni Widya Sari di Mahkamah Majistret Kangar pada 15 Feb lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Kangar mendenda seorang warga Indonesia RM10,000 kerana menyembunyikan mayat bayi lelakinya dalam mesin basuh sebelum menanamnya.
Yuni Widya Sari, 28, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.
Majistret memerintahkan wanita itu dipenjara 15 bulan, jika gagal membayar denda berkenaan.
Nurshahida dalam penghakiman yang dimuat naik ke sistem kehakiman dan diperoleh media hari ini berkata, tertuduh melakukan kesalahan bertentangan sosial dan agama.
Menurutnya, tindakan tertuduh tidak wajar dan boleh menjadi barah yang membunuh keharmonian masyarakat, justeru mahkamah memandang berat kesalahan dilakukannya.
“Mahkamah meneliti fakta kes, tertuduh panik selepas mendapati bayi lelaki yang dilahirkan tidak bergerak.
Dia kemudian membalut dan menyimpan bayi itu dalam mesin basuh sebelum mengebumikan mayat berkenaan keesokannya, katanya menurut Sinar Harian.
Berdasarkan rayuan dikemukakan, beliau berkata, tertuduh jelas mencapai usia matang dan mempunyai pemikiran waras, selain memohon maaf atas kesilapannya serta mengakui tidak berfikir panjang semasa bertindak demikian.
Nurshahida berkata, mahkamah menjatuhkan hukuman munasabah supaya tertuduh sedar dan insaf atas perbuatannya serta mempertimbangkan dia ke Malaysia untuk menyara keluarga di Indonesia.
“Di sini, dia tiada tempat bergantung menyebabkannya hilang pertimbangan semasa melakukan kesalahan berkenaan.
Walaupun begitu, mahkamah masih mempertimbangkan tindakan tersebut tidak wajar, jadi hukuman denda dikenakan munasabah dan setimpal bagi memberikan kesedaran kepadanya.
Pengasuh dari Medan, Indonesia itu mengaku bersalah 11 Jan lalu atas tuduhan itu. Dia didakwa menyembunyikan kelahiran dengan cara mengebumikan mayat seorang bayi lelaki dilahirkan di sebuah rumah di Kangar pada 6.30 pagi 21 Dis 2023.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 3 Jan lalu, media melaporkan seorang guru menemui mayat bayi cukup sifat dibungkus kain putih selepas menghidu bau busuk dekat rumahnya. Hasil siasatan mendapati bayi itu masih bertali pusat, ditanam di kawasan terbuka dan tidak berpagar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan