"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu MB Perlis: Ahli dan pemimpin bawahan mula bersuara

‘Muhasabah, bukan terus kata tak betul,’ kata ahli PAS berkait penafian isu MB Perlis

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Ahli PAS Perlis Mohd Saifizi Saidon menegaskan kritikan terhadap pimpinan secara terbuka termasuk berkait Menteri Besar Shukri Ramli minggu lalu kerana tidak mahu kontroversi itu menafikan peluang parti merampas negeri lain.

Saifizi juga tidak gentar dengan tindakan bakal dikenakan terhadapnya akibat daripada ucapan pada Muktamar PAS ke-70 yang mengundang reaksi daripada pimpinan seperti Ketua Penerangan Ahmad Fadhli Shaari.

Fadhli menafikan pimpinan parti gagal memantau kualiti pemimpin dan menteri besar di negeri diterajuinya termasuk Shukri yang terpalit kontroversi susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa selain pendakwaan anaknya di mahkamah.

Bercakap kepada FMT, Saifizi mendakwa isu dibangkitkan itu bukan kenyataan peribadinya semata-mata tetapi turut mendapat persetujuan dari PAS Kangar, Padang Besar dan Arau.

Berucap mewakili PAS Perlis pada Mukmatar PAS ke-70 di Temerloh, beliau berkata teguran itu harus diambil dilihat positif bagi memastikan hasrat parti meluaskan kuasa ke negeri lain termasuk menawan Putrajaya menjadi realiti.

“Kita parti Islam, semoga sentiasa ambil muhasabah, bukan kata terus tak betul.

Harap isu ini tidak berulang sebab lepas ini nak menang negeri lain pula (rampas pentadbiran lain menerusi pilihan raya), katanya kepada FMT.

Selain Perlis yang mula ditadbir PAS sejak Disember 2022, parti itu juga menjadi pemerintah di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sabtu lalu, Saifizi ketika berbahas pada muktamar itu mempersoalkan kesungguhan parti itu untuk memperjuangkan integriti dan amanah kerana tidak menyerahkan laporan mengenai isu dihadapi Shukri kepada PAS Perlis.

Shukri pada 2 Mei lepas menegaskan beliau masih menteri besar walaupun wujud desakan letak jawatan susulan siasatan SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Pada 23 Mei lalu, anak Shukri iaitu Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu RM19,505.10 berkaitan perkhidmatan menyediakan minuman untuk kegunaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Mengulas hubungannya dengan Shukri selepas tegurannya itu, Saifizi berkata mereka masih berkawan namun belum berkesempatan bertemu dengan pesuruhjaya PAS Perlis terbabit.

“Mungkin akan ada nanti tapi saya tak pasti bila kerana Perlis sekarang sibuk dengan banjir.

Jadi hal isu dalaman parti ini kita boleh perhalusi dan bincang selepas ini, fokus kini bantu rakyat tengah sibuk bencana, katanya.

Tiada ulasan: