"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu mengikuti langkah Perlis mengisytiharkan ajaran dibawa GISBH sebagai ajaran sesat

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Terengganu akan mengikut jejak langkah Perlis apabila memutuskan untuk memfatwakan kepercayaan dan ajaran dalam GISB Holdings (GISBH) adalah sesat.

Mufti Terengganu Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu akan mengeluarkan fatwa itu berdasarkan bukti-bukti jelas yang menunjukkan organisasi itu mengandungi unsur ajaran sesat.

"Kita akan fatwakan GISBH sebagai sesat juga berdasarkan bukti-bukti yang jelas, namun biasanya pihak Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan lebih dahulu sebelum dibawa ke negeri masing-masing.

"Apabila sudah ada bukti-bukti yang kukuh yang dibentangkan oleh pihak-pihak yang tertentu yang berautoriti berkaitan GISBH, maka sudah tentu akan juga difatwakan sesat tanpa perlu was-was lagi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, gerakan GISBH tidak begitu ketara di Terengganu namun, pihaknya tetap memandang serius isu berkenaan.

"Di Terengganu, gerakan ini tidak begitu ketara dan tidak ada aduan serius untuk dibawa ke fatwa peringkat negeri.

"Apabila ada aduan serius di peringkat kebangsaan, maka biasanya ia akan dibincangkan di peringkat MKI terlebih dahulu sebelum diputuskan oleh setiap negeri," katanya.

Terdahulu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Ia menjadikan Perlis negeri pertama mengisytiharkan organisasi berkenaan sebagai kumpulan ajaran sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan sesat.

Tiada ulasan: