"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Resolusi PBB: Israel diberi tempoh 12 bulan tamatkan pendudukan di Palestin

Agensi

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam meluluskan resolusi menuntut secara rasmi Israel menamatkan pendudukan di wilayah Palestin dalam tempoh 12 bulan dan sekatan dikenakan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Resolusi yang tidak mengikat itu dibuat berdasarkan pendapat nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa pendudukan sejak 1967 berkenaan 'melanggar undang-undang.'

Ia diluluskan selepas hasil pengundian mencatat keputusan 124 negara anggota PBB menyokong, 14 menentang dan 43 berkecuali, dengan delegasi Palestin menyifatkan pencapaian berkenaan sebagai 'bersejarah.'

Amerika Syarikat (AS) mengundi menentang resolusi itu, begitu juga Hungary, Republik Czech dan beberapa negara kepulauan kecil.

Terdahulu, negara-negara Arab telah meminta sesi khas itu diadakan, beberapa hari sebelum pemimpin dunia bertemu di ibu pejabat PBB untuk Perhimpunan Agung.

Resolusi itu - kali pertama diperkenalkan oleh delegasi Palestin bawah hak baharu diperoleh tahun ini - menuntut Israel 'menamatkan tanpa lengah kehadirannya yang menyalahi undang-undang di wilayah Palestin yang diduduki.'

Ia sekali gus menuntut pengunduran Israel 'dalam tempoh tidak lebih 12 bulan' dari tarikh resolusi itu diterima pakai. Draf sebelum ini memberi tempoh enam bulan.

Resolusi berkenaan juga menuntut pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin; pembinaan penempatan baharu dihentikan; pemulangan semula tanah dan harta benda yang telah dirampas; serta kemungkinan kembalinya rakyat Palestin yang telah dipindahkan.

Selain itu, ia menggesa negara-negara untuk mengambil langkah ke arah menghentikan peruntukan senjata kepada Israel di mana terdapat 'alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa ia berkemungkinan digunakan di wilayah Palestin yang diduduki.'

"Ideanya ialah menggunakan tekanan komuniti antarabangsa dalam Perhimpunan Agung dan juga tekanan daripada keputusan bersejarah oleh ICJ, untuk memaksa Israel berubah tingkah laku.

"Rakyat Palestin mahu hidup - bukan 'survive'. Mereka mahu selamat di dalam rumah sendiri," kata Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, sebelum hari pengundian.

Kumpulan Hamas turut mengalu-alukan penerimaan pakai resolusi itu dengan menyifatkannya sebagai mencerminkan solidariti komuniti antarabangsa bersama perjuangan rakyat Palestin.

Bagaimanapun, Israel bertegas menolak resolusi berkenaan.

"Inilah rupa politik antarabangsa yang sinis," kata jurucakap Kementerian Luar Israel, Oren Marmorstein, melalui X sambil mendakwa keputusan itu sebagai terpisah daripada realiti, menggalakkan keganasan dan menggugat peluang untuk keamanan. - AFP
-Bharianonline 

Tiada ulasan: