Penganjur tak jadi buat 'lumba race kura-kura' di Kelantan
Malaysiakini
Penganjur Expo Kelate Event hari ini membuat keputusan untuk membatalkan acara lumba kura-kura yang dirancang mereka berlangsung pada program itu 30 Sept nanti.
Pengumuman tersebut dibuat ketika sesetengah pengguna media sosial giat menyindir, mengkritik dan menghasut maya (troll) acara berkenaan serta mengaitkannya dengan kerajaan Kelantan.
“Kami selaku penganjur memohon maaf di atas kekhilafan berkenaan cadangan penganjuran lumba race kura-kura di tapak Expo Tasek Raja (di Pasir Mas, Kelantan).
“Cadangan penganjuran ini dibatalkan dan kami memohon maaf sekali lagi atas kekhilafan pihak kami dan penganjur serta program ini tidak terlibat mana-mana agensi atau persatuan,” katanya penganjur itu dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Terdahulu poster acara terbentuk hiburan keluarga, jualan, festival kebudayaan dan kesenian tempatan itu tular di media sosial. Acara berkenaan berlangsung sejak 13 Sept lalu dan sepatutnya berlanjutan sehingga 5 Okt ini.
Poster tersebut menguar-uarkan rancangan penganjur mengadakan perlumbaan kura-kura yang mengingatkan sesetengah orang kepada analogi Presiden PAS Abdul Hadi Awang semasa muktamar di Pahang hujung minggu lalu.
Seorang pengguna Facebook mengingatkan warganet bahawa sebelum ini pernah ada pertandingan biri-biri jangok (lawa) dan pertandingan lastik di Kelantan.
“Dan akan datang pertandingan lumba kura-kura.
“Negeriku sedang undur 50 tahun ke belakang, dengan membawa sekali mentaliti rakyatnya jauh ke tahun 1960-an dan 1970-an,” katanya.
Sementara itu penganjur turut mengumumkan pembatalan acara itu digantikan dengan pemberian 300 makanan percuma.
Acara lumba kura-kura itu pada asalnya menyediakan hadiah RM500 untuk pemenang pertama, RM300 di tempat kedua dan masing-masing RM200 dan RM100 bagi tempat ketiga dan keempat.
Ia terbuka kepada kura-kura yang mempunyai berat 1kg tetapi tidak melebihi 2kg.
Mengikut rancangan asal, kura-kura itu akan bertarung bagi jarak dua meter. Penyertaan dihadkan kepada 20 ekor sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan