Suraya Roslan
surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Dua sahabat dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol gadis berusia 18 tahun di dalam sebuah kereta, Mei tahun lalu.
Hakim Izralizam Sanusi menjatuhkan hukuman itu terhadap bekas joki, B Satia, 27, yang kini pemandu lori dan penyelia tapak pembinaan, T Khanesen, 31, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
"Selepas mahkamah mengambil kira mitigasi dan pemberat yang diteliti seadilnya, perintah bon berkelakuan adalah tidak wajar dan tidak sesuai diberikan.
"Oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan selama 11 tahun dengan dua sebatan terhadap kedua-dua tertuduh bermula hari ini," katanya.
Terdahulu, peguam Muhammad Amin Abdullah dan K Ponnusamy masing-masing mewakili Satia dan Khanesen memohon hukuman berbentuk bon berkelakuan baik dengan mengambil kira faktor kedua-dua tertuduh adalah penanggung utama keluarga dan pesalah kali pertama.
"Kami juga memohon satu penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan di Mahkamah Tinggi," kata Ponnusamy.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin membantah permohonan hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah rogol iaitu kesalahan yang serius.
"Pihak pendakwaan memohon hukuman berat sebagai pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh supaya mereka dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan.
"Permohonan bon tidak terpakai bagi kesalahan serius seperti rogol kerana jenayah ini sememangnya serius.
"Pendakwaan memohon hukuman penjara serta-merta untuk menghukum pesalah dan paling penting bagi melindungi wanita" katanya.
Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman namun menaikkan jumlah jaminan daripada RM9,000 kepada RM11,000 bagi memastikan kehadiran kedua-dua tertuduh pada prosiding akan datang.
Seramai 14 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan termasuk kedua-dua tertuduh dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula Februari lalu.
Pada 24 Mei tahun lalu, Satia didakwa merogol seorang gadis berusia 18 tahun dalam kereta jenis Honda City di kawasan pusat hiburan, Jalan Tun Razak, Maluri di sini, pada jam 5.20 pagi, 13 Mei tahun lalu.
Khanesen turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap mangsa sama, pada 5.06 pagi di tempat sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan